Kerajaan Negeri hargai komitmen penjawat awam laksana tanggungjawab dengan cemerlang

Admin
img 20240702 wa0085

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri Pulau Pinang sentiasa menghargai komitmen penjawat awam yang melaksanakan tanggungjawab dengan cemerlang demi merealisasikan Visi Penang2030: Negeri Pintar dan Hijau Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berharap agar pengiktirafan melalui Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) akan menjadi pemangkin serta inspirasi kepada penjawat awam negeri untuk memacu lebih banyak kejayaan pada masa hadapan.

“Kerajaan Negeri amat berterima kasih dan memghargai komitmen penjawat awam yang telah melaksanakan tanggungjawab dengan bersungguh-sungguh ke arah merealisasikan matlamat yang dihasratkan.

“Seiring dengan perubahan serta keperluan semasa, kualiti penyampaian perkhidmatan kepada rakyat juga harus sentiasa ditingkatkan.

“Justeru, saya berharap pengiktirafan dan penghargaan ini bukan sahaja akan menjadi pencetus semangat kepada 317 penerima hari ini, malah juga seluruh warga penjawat awam negeri untuk sentiasa memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat,” katanya ketika berucap pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Tahun 2023 dekat sini sebentar tadi.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Rosli Isa; Pegawai Undang-Undang Negeri, Dato’ Roslinda Mohd. Shafie; Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Zabidah Safar; Mufti Kerajaan Negeri, Prof. Madya Dr. Mohd. Sukki Othman; Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pengurusan), Abdul Kahar Abdullah serta ketua-ketua jabatan negeri.

img 20240702 wa0071

img 20240702 wa0078

img 20240702 wa0082

Kon Yeow menyatakan bahawa prestasi kecemerlangan perlu dibudayakan bagi memastikan usaha dan tindakan bersungguh-sungguh dilaksanakan penjawat awam sehingga Kerajaan Negeri berjaya merealisasikan semua inisiatif yang ditetapkan dalam Visi Penang2030.

“Penjawat awam merupakan cerminan imej Kerajaan Negeri di mata masyarakat, oleh itu, semua warga penjawat awam negeri perlu sentiasa mengutamakan kualiti dan keberkesanan tindakan ketika memberikan perkhidmatan.

“Adalah menjadi harapan saya agar seluruh warga penjawat awam Pulau Pinang memberikan sokongan penuh kepada pentadbiran Kerajaan Negeri untuk terus memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat negeri ini,” ujarnya.

Sementara itu, Rosli yang turut berucap sebelum itu memberitahu bahawa penjawat awam mempunyai tanggungjawab bukan sahaja kepada jabatan masing-masing tetapi juga kepada masyarakat.

img 20240702 wa0088

“Setiap penjawat awam mesti berusaha untuk mengekal dan meningkatkan kemahiran kepimpinan masing-masing secara berterusan.

“Setiap daripada kita terpanggil untuk menghayati enam teras Malaysia Madani: Kelestarian (keMampanan), Kesejahteraan (Kesejahteraan), Inovasi (Daya Cipta), Hormat (HormAt), Amanah (Keyakinan), dan Ihsan (Ihsan),” katanya.

Terdahulu, Kon Yeow yang juga Exco Kewangan, Pembangunan Ekonomi & Tanah dan Komunikasi menyampaikan APC kepada 317 warga penjawat awam dari 21 jabatan dan tiga badan berkanun negeri yang menunjukkan prestasi cemerlang bagi tahun 2023.

Selaras dengan matlamat untuk merealisasikan Visi Penang2030, Majlis APC tahun ini masih mengekalkan tema “Penjawat Awam Cemerlang, Meneraju Visi Penang2030.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : MUHAMMAD AMIR IRSYAD OMAR
Video : SIEW CHIA EN