PULAU TIKUS – Kerajaan Negeri amat menghargai sokongan berterusan daripada semua pihak sepanjang tempoh kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-15 baru-baru dan tidak dinafikan juga bahawa banyak cabaran telah dilalui bersama.
Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata demikian pada Majlis Penghargaan PRN-15 bagi Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Datok Keramat di sini sebentar tadi.
Menurut beliau, walaupun bakal berdepan dengan cabaran dan masa depan yang masih belum ada kepastian, Kerajaan Negeri tidak akan berhenti sebaliknya meneruskan hasrat dalam memastikan kemajuan pembangunan yang menyeluruh.
“Saya akan terus memimpin serta memacu negeri Pulau Pinang dengan memastikan seluruh rakyat negeri ini menerima segala kebaikan dan kekal harmoni selari dengan Visi Penang2030 ke arah Negeri Pintar dan Hijau Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara,” ujarnya yang juga Exco Kewangan, Pembangunan Ekonomi & Tanah dan Komunikasi.
Turut hadir, tuan rumah yang juga Timbalan Ketua Menteri II, Jagdeep Singh Deo, barisan kepimpinan Kerajaan Negeri Pulau Pinang serta tetamu kenamaan lain.
Mengulas lanjut, Kon Yeow turut menyatakan bahawa semangat kerjasama sebegini wajar disemai dalam Kerajaan Perpaduan demi memastikan rakyat memperoleh pembangunan dan perubahan positif.
“Tahniah juga diucapkan kepada YB Jagdeep serta barisan ADUN yang hadir dan selamat menjalankan amanat yang telah dipertanggungjawabkan.
“(Dan) pada masa sama diharapkan barisan pimpinan baru ini akan meneruskan segala perancangan dan perjalanan projek (pembangunan) yang telah dimulakan sebelum ini bagi membawa negeri kita dan negara tercinta ke masa depan yang lebih cerah serta menjanjikan kesejahteraan, pembangunan mampan dan persekitaran lebih baik buat anak dan cucu-cicit kita pada masa hadapan,” jelasnya yang juga Ahli Parlimen Batu Kawan.
Oleh : NUR ASHIKIN ISMAIL
Gambar : SITI NURATIKAH RAHMAT