BAGAN JERMAL – Kerajaan Negeri Pulau Pinang berhasrat untuk memperluaskan program Eko Komuniti ke setiap Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) melalui penglibatan Ahli Majlis pihak berkuasa tempatan (PBT).
Mengulas lanjut, Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo berkata, Ahli-Ahli Majlis yang dilantik akan diarahkan untuk mengadakan program berkenaan secara berkala bagi meningkatkan lagi tahap kebersihan di negeri ini.
“Kita amat mengalu-alukan program ini kerana bertepatan dengan cogan kata Kerajaan Negeri untuk menjadikan Pulau Pinang sebagai negeri bersih, hijau, sihat dan selamat.
“Selain itu, program ini juga membantu Kerajaan Negeri dalam mencapai sasaran kadar kitar semula yang ditetapkan menjelang 2022 iaitu 70 peratus bagi kawasan Seberang Perai dan pulau (50 peratus).
“Jadi, kita mengucapkan terima kasih kepada Menteri kerana sudi memilih Projek Perumahan Rakyat (PPR) Bagan Jaya sebagai salah satu lokasi bagi program ini,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran program berkenaan dekat PPR Bagan Jaya, di sini pada 9 November lalu.
Program tersebut dirasmikan oleh Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Zuraida Kamaruddin.
Hadir sama, Exco Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar, Phee Boon Poh; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machang Bubuk, Lee Khai Loon; Timbalan Ketua Setiausaha KPKT, Datuk Dr. Mary Wong Lai Lin; Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Wanita Pulau Pinang (PWDC), Ong Bee Leng serta ramai lagi.
Sementara itu, Zuraida dalam ucapannya sebelum itu memaklumkan bahawa Kerajaan Persekutuan bersedia mempertimbangkan permohonan RM100 juta yang dipohon oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang bagi tujuan penyelenggaraan projek perumahan awam di negeri ini.
“Pulau Pinang sebagai negeri yang mempunyai dua majlis bandaraya sudah tentu memerlukan pendekatan berbeza kerana (Pulau Pinang) sudah ke depan dan mempunyai keistimewaan tersendiri,” ujarnya lagi.
Program Eko Komuniti diperkenalkan bagi menggalakkan penglibatan komuniti setempat terutamanya penduduk yang menetap di PPR dalam menjaga kebersihan awam dan mengutamakan kesihatan.
Selain itu, ia juga membantu meningkatkan kesedaran komuniti mengenai kepentingan pengasingan sampah di samping membantu menjana pendapatan sampingan dengan sampah yang dikitar semula.
Difahamkan, PPR Bagan Jaya menjadi lokasi pertama pelancaran program berkenaan dan akan dilaksanakan di lima lagi PPR iaitu PPR Desa Mutiara, Tebrau, Johor; PPR Padang Hiliran (Terengganu); Laman Budaya, Kuala Kangsar (Perak); Taman Kosas, Ampang (Selangor) dan PPR Taman Sri Keramat, Putatan di Sabah.
Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS