Kerajaan Negeri iktiraf peranan dan sumbangan NGO dalam pembangunan negeri

Admin

GEORGE TOWN – Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) memainkan peranan penting dalam pembangunan di negeri ini sama ada melalui aspek sosial, ekonomi, pendidikan, kebudayaan mahupun keagamaan.

 

KETUA Menteri ketika berucap pada Majlis Berbuka Puasa anjuran Persatuan Muslim Kadayanallur.

 

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata, Kerajaan Negeri sentiasa mengiktiraf peranan dan sumbangan NGO-NGO di negeri ini.

 

Kita (rakyat Pulau Pinang) seharusnya berasa amat bersyukur apabila terdapat NGO-NGO yang masing-masing menyumbang terhadap pembangunan negeri.

 

“Inilah yang menjadi kekuatan untuk negeri kita dan sekalung penghargaan kepada semua NGO yang telah mencurahkan bakti selama ini,” ujarnya pada Majlis Berbuka Puasa anjuran Persatuan Muslim Kadayanallur (PMK) di Jalan A.S.Mansoor dekat sini pada 17 April 2022.

 

ANTARA dif yang hadir mengimarahkan majlis berbuka puasa.

 

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Komtar yang juga Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri, Teh Lai Heng; Presiden Central Muslim Society (CMS), Hassan Othman; Presiden Persatuan Liga Muslim, Datuk Haja Najmudeen Kader; Timbalan Presiden PMK, Mohd. Noor Mastan; presiden-presiden dan wakil-wakil persatuan gabungan serta wakil-wakil daripada Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) setempat.

 

Dalam majlis sama, Kon Yeow yang juga Ahli Parlimen Tanjong memuji pelbagai usaha yang dilakukan oleh NGO-NGO di negeri ini termasuk PMK sendiri yang mahu mempergiatkan lagi aktiviti kemasyarakatan serta pendidikan dalam kalangan anak-anak watan di sekitar Tanjong.

 

“Oleh yang demikian, saya setuju dan sokong hasrat PMK untuk melaksanakan program-program demi manfaat anak-anak watan di kawasan ini.

 

“Saya yakin dengan pelbagai inisiatif yang dirancang ini, ia akan menyediakan anak-anak watan kita untuk menyahut cabaran dalam memastikan kelangsungan pembangunan negeri yang lebih baik pada masa hadapan,” jelasnya yang turut menzahirkan pengharapan agar semua pihak dapat menghayati bulan Ramadan dengan mengukuhkan lagi silaturahim serta semangat perpaduan dalam kalangan rakyat berbilang bangsa di negeri ini.

 

PIMPINAN Persatuan Muslim Kadayanallur serta pimpinan komuniti setempat yang hadir.

 

Dalam pada itu, Presiden PMK, Sayed Abdullah Abdul Jabbar mengucapkan ucapan terima kasih kepada Ketua Menteri serta pimpinan negeri yang sudi meluangkan masa untuk berbuka puasa bersama-sama pihak persatuan tersebut.

 

“Mewakili PMK, kami juga bercadang untuk mempergiatkan aktiviti perniagaan dan pendidikan dalam kalangan ahli-ahli persatuan kami selain meneruskan aktiviti kemasyarakatan persatuan.

 

“(Dan) berharap agar dapat bekerjasama dengan agensi-agensi berkaitan untuk merealisasikannya,” katanya.

 

KETUA Menteri menyerahkan replika cek bernilai RM5,000 kepada Presiden Persatuan Muslim Kadayanallur (PMK) di sini.

 

Terdahulu, Kon Yeow menyerahkan sumbangan sebanyak RM5,000 kepada PMK bagi membantu dalam pelaksanaan perancangan persatuan tersebut.

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR
Video : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS