Kerajaan Negeri, JKNPP bakal bincang jadikan hotel sebagai PKRC

GEORGE TOWN – Susulan peningkatan kes-kes positif COVID-19 yang direkodkan di negeri ini, Kerajaan Negeri Pulau Pinang melalui Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMK) Pelancongan dan Ekonomi Kreatif kini dalam perancangan untuk mengadakan pertemuan bersama-sama Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) dan penggiat-penggiat hotel di negeri ini.

 

Menurut Yeoh Soon Hin, pertemuan yang dirancang itu adalah bagi membincangkan mekanisme penggunaan hotel sebagai Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC) Berisiko Rendah memandangkan pusat-pusat kuarantin sedia ada tidak mencukupi bagi menampung bilangan pesakit COVID-19 yang kian meningkat. 

 

“Sebenarnya, Kerajaan Negeri sering kali menyeru transformasi tersebut melalui kenyataan media dan juga persatuan-persatuan industri pelancongan di negeri ini. 

 

“(Dan) melalui pertemuan tersebut, isu berkaitan (untuk menukar guna hotel sebagai) pusat kuarantin dan pusat kuarantin kontak rapat akan dibincangkan secara lanjut termasuk prosedur-prosedur yang berkenaan,” ujarnya yang merupakan Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif (PETACE) pada sesi penggulungan Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang Ke-14 dekat sini pada 2 September 2021. 

 

Kenyataan tersebut juga adalah bagi menjawab persoalan yang diajukan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tambun, Goh Choon Aik dan ADUN Komtar, Teh Lai Heng. 

 

Mengulas lanjut, Soon Hin memaklumkan bahawa hotel Royale Chulan Penang kini berfungsi sebagai PKRC Berisiko Rendah. 

 

“Mulai 2 September 2021, pasukan rawatan (medical team) 24 jam ditempatkan di premis tersebut. 

 

Setakat 1 September 2021, Kerajaan Negeri melalui pejabat PETACE telah menerima satu (1) lagi permohonan hotel yang berminat untuk dijadikan sebagai PKRC.

 

Selain itu, dua (2) buah hotel lagi di Seberang Perai juga telah mengemukakan permohonan untuk menjadi hotel kuarantin (quarantine hotel). 

 

“Kedua-dua permohonan ini telah dipanjangkan kepada JKNPP untuk tindakan selanjutnya,” jelasnya yang berharap proses kelulusan permohonan dapat dipercepatkan bagi membendung dan mengatasi masalah kekurangan tapak kuaratin. 

 

Terdahulu, dalam kenyataan media bertarikh 29 Ogos 2021, Soon Hin memaklumkan bahawa selain Royale Chulan Penang, sebuah lagi hotel iaitu Vouk Hotel Suites telah ditukar guna sebagai PKRC Berisiko Rendah sebelumnya. 

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI 
Gambar : DARWINA MOHD. DAUD