Kerajaan Negeri ketatkan permohonan lesen pusat siber

Admin

Oleh: ZULIANA AZIZ

SEBERANG PERAI – Bagi mengekang aktiviti tidak bermoral daripada terus berleluasa, Kerajaan Negeri pada tahun 2010 telah mengeluarkan arahan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) supaya mengkaji dan memperhalusi syarat-syarat sebelum meluluskan permohonan lesen sementara bagi pusat-pusat siber seluruh negeri Pulau Pinang.

Arahan tersebut dikeluarkan ekoran daripada masalah perjudian peranti elektronik yang berleluasa pada ketika itu. Pada masa sama, terdapat lambakan pusat siber yang beroperasi tanpa lesen serta tidak terkawal dan ia dibimbangi dapat meruntuhkan akhlak para remaja serta kanak-kanak yang kerapkali menjadikan pusat siber sebagai tempat untuk menghilangkan rasa bosan mereka.

SOON Lip Chee.
SOON Lip Chee.

Di antara syarat-syarat dikenakan termasuk bilangan komputer yang seharusnya ada di setiap premis, bilangan pekerja mencukupi untuk memantau aktiviti di pusat siber, pihak pengurusan harus profesional dan berpengetahuan luas dalam bidang berkenaan, perlu mempunyai sijil kelayakan dan larangan pengambilan pekerja asing.

Di samping itu, operasi pusat siber juga dihadkan kepada aktiviti penyebaran dan mendapatkan maklumat melalui internet sahaja. Permainan video (tidak termasuk permainan komputer), perjudian, gambar-gambar lucah, muzik (muzik pipe) serta penjualan bahanbahan bercetak khususnya yang mengandungi unsur-unsur negatif adalah tidak dibenarkan sama sekali.

Dalam pada itu, had umur pengunjung dan masa beroperasi yang dibenarkan juga perlu dititikberatkan dan diambil perhatian oleh pengusaha pusat siber. Syarat-syarat asas lain yang harus dipatuhi adalah seperti larangan penjualan rokok dan minuman keras/ membawa masuk/ merokok di dalam premis, penyediaan buku rekod kemasukan pelanggan bagi semakan pihak berkuasa serta sentiasa menjaga kebersihan premis.

Menurut Ahli Majlis Majlis Perbancaran Seberang Perai (MPSP), Soon Lip Chee, bagi mengetatkan lagi penguatkuasaan premis pusat siber pada tahun ini, Jabatan Perlesenan dan Jabatan Direktorat Penguatkuasaan telah mengatur beberapa program penguatkuasaan berjadual. Selain itu, program penguatkuasaan terbabit juga bakal membabitkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) secara berkala.

“ MPSP tidak mempunyai kuasa untuk menangkap mereka yang menyalahgunakan pusat siber, tetapi, sentiasa bekerjasama dengan PDRM untuk membuat operasi berkala dari semasa ke semasa,” ujar beliau ketika ditemui Buletin Mutiara di sini baru-baru ini.

Tegas beliau, tindakan membatalkan lesen premis perniagaan pusat siber akan dijalankan jika pengusaha berkenaan didapati melanggar syarat-syarat yang termaktub di dalam peraturan lesen atau mendapat aduan pelanggaran syarat daripada PDRM.