Kerajaan Negeri komited bantu usahawan PKS dapatkan tapak di Batu Kawan

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri sentiasa komited dalam memudah cara dan membantu para usahawan muda di negeri ini.

Menurut Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan, Dr. Afif Bahardin, Kerajaan Negeri mempunyai tapak untuk usahawan muda yang berhasrat mengembangkan perniagaan mereka.

“Kita sememangnya mempunyai tapak perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di Batu Kawan bagi membolehkan usahawan muda di negeri ini menguruskan perniagaan mereka di situ.

“Dari segi modal, saya sarankan usahawan muda yang berminat boleh mengemukakan kertas kerja kepada pihak lain yang berkaitan seperti MTDC (Malaysia Technology Development Corporation), MARA (Majlis Amanah Rakyat), SME Corp., dan lain-lain.

“Kerana saya faham untuk buka kilang bukanlah satu modal yang kecil sebaliknya memerlukan jutaan ringgit dan untuk itu pihak-pihak berkaitan tadi boleh bantu,” ujar Afif ketika menerima kunjungan usahawan mi segera MyMee Minda, Mohammad Ilias Zulkiffli di pejabatnya dekat Komtar semalam.

Ketika ditemui Mohamad Ilias yang berusia 22 tahun itu memaklumkan bawa beliau kini bertapak di Jawi tetapi kilang bagi memproses mi terletak di Alor Setar, Kedah.

“Oleh sebab itu, saya berhasrat untuk membuka sebuah kilang di Pulau Pinang bagi menampung permintaan yang kian meningkat dan saya berharap perjumpaan saya hari ini bagi mendapat pandangan Exco.

“Memang menjadi harapan saya untuk memenuhi permintaan serta mengembangkan lagi perniagaan berasaskan mi segera yang menyihatkan ini berbanding mi segera biasa di pasaran.

“Sekiranya penghasilan dapat dilakukan pada skala yang lebih besar saya yakin produk ini dapat diperluaskan bagi memenuhi permintaan pelanggan yang bertambah,” katanya yang kini memasarkan produknya secara dalam talian.

Tambahnya, produknya turut menembusi pasaran di Singapura dan Thailand.

“Produk ini mudah diterima kerana kandungan mi tersebut dicampurkan dengan makanan sunah, tanpa penambah perisa seperti MSG (monosodium glutamate), wax, dan bahan-bahan kimia lain berbanding produk lain di pasaran kini.

“Semuanya bermula apabila saya melihat tiada produk mi segera di pasaran yang menyihatkan,” ceritanya kepada Buletin Mutiara.

Sebelum sampai ke tahap ini, Mohamad Ilias memberitahu beliau pernah mencuba pelbagai jenis perniagaan seperti kosmetik, kopi, makanan tambahan dan lain-lain.

“Namun, berkat doa emak saya, alhamdulillah, lima bulan memulakan perniagaan ini, kira-kira dua juta bungkusan mi segera terjual.

“Saya memang berhasrat untuk memasarkan mi segera ini ke pasar raya namun setelah diteliti beberapa perjanjian yang pada saya kurang memihak kepada syarikat kami, saya terpaksa menolak,” katanya.

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : LAW SUUN TING