Kerajaan Negeri komited bawa perubahan, rakyat perlu teruskan sokongan, seru KM

Admin

DATUK KERAMAT – Rakyat Pulau Pinang diseru agar terus memberikan sokongan kepada kepimpinan Kerajaan Negeri Pakatan Harapan yang sudah terbukti mampu membawa perubahan besar kepada warganya dan negeri Pulau Pinang. Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata, perkara tersebut telah terbukti apabila Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) baru-baru ini terpilih menerima anugerah bandar terbersih di dalam negara termasuk ASEAN.

“Jika anda ingat, 10 tahun lalu sebelum Kerajaan Negeri mengambil alih tampuk pemerintahan negeri, Pulau Pinang dahulunya dikenali sebagai ‘Darul Sampah’.

“Tetapi, setelah diberikan mandat oleh rakyat, kita (Kerajaan Negeri) benar-benar komited mengubahnya hingga menjadikan negeri ini sebagai salah satu bandar terbersih di Malaysia dan ASEAN, ini dibuktikan melalui anugerah yang diperoleh Majlis (MBPP) baru-baru ini di Chiang Mai, Thailand….bukan setakat cakap-cakap kosong sahaja,” ujarnya yang merupakan ADUN Air Putih merangkap Ahli Parlimen Bagan.

Terdahulu, Guan Eng menyertai kira-kira 1,000 masyarakat setempat memeriahkan Majlis Rumah Terbuka Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Datuk Keramat sempena sambutan Tahun Baru Cina di Taman Free School di sini baru-baru ini. Ketibaan beliau disambut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datuk Keramat yang juga Exco Perancangan Bandar & Desa dan Perumahan, Jagdeep Singh Deo dan barisan kepimpinan Kerajaan Negeri.

Turut hadir, Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow, Dr. T. Jayabalan (ADUN Batu Uban), Ar. Yew Tung Seang (Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang, MBPP) dan Gurmit Kaur (isteri mendiang Karpal Singh).

Guan Eng serta kepimpinan lain kemudiannya diiringi ke pentas bagi menyempurnakan acara lor sang sebagai adat permulaan Tahun Baru Cina. Tambahnya, selain negeri yang semakin bersih, rakyat kebanyakan juga dapat menikmati pelbagai insentif yang disediakan Kerajaan Negeri merangkumi pelbagai peringkat umur dan golongan.

“Pulau Pinang tidak kenakan GST (Cukai Berangan dan Perkhidmatan) seperti Kerajaan Pusat, tapi kita (Kerajaan Negeri) mampu memberikan pelbagai insentif kepada rakyat dari yang baru lahir hinggalah kepada golongan tua.

“Jadi, tiada masalah untuk Pakatan Harapan sekiranya merampas Putrajaya untuk terus mengekalkan pemberian BR1M (Bantuan Rakyat 1Malaysia) berjumlah RM1,200 walaupun cadangan GST akan dimansuhkan,” ujarnya.