Kerajaan Negeri komited beri sokongan kembangkan aktiviti kebudayaan, kesenian serta warisan

Admin

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri Pulau Pinang menyambut baik segala usaha yang melibatkan penganjuran aktiviti kesenian dan kebudayaan di negeri ini.

 

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa selain berusaha memajukan agenda ekonomi dan pembangunan infrastruktur Pulau Pinang, Kerajaan Negeri turut memberi sokongan terhadap mana-mana pihak yang mengambil inisiatif menganjurkan aktiviti kesenian dan kebudayaan di negeri ini.

KETUA Menteri bersama-sama dif kehormat lain meluangkan masa mendekati pengunjung yang hadir pada Pesta Tanglung Tanjong 2019 dekat sini, tadi.

 

“Kita (Kerajaan Negeri) juga beri perhatian kepada program-program sosial dan kebajikan serta berusaha mengembangkan aktiviti berunsurkan kebudayaan dan kesenian.

 

“Kerajaan Negeri juga akan memberi sokongan kepada mana-mana agensi, Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) tempatan atau badan bukan kerajaan (NGO) yang menganjurkan pesta kebudayaan, kesenian serta warisan.

 

“(Hal ini kerana), penganjuran aktiviti seperti ini akan membawa kepada negeri yang dinamik penuh dengan aktiviti kemanusiaan serta mengimbangi pembangunan ekonomi dan industri pelancongan di negeri ini,” ujarnya ketika hadir merasmikan perayaan Pesta Tanglung Tanjong 2019 di perkarangan Pusat Belia Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dekat Lebuh Acheh lewat petang ini.

 

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Komtar, Teh Lai Heng; ADUN Pengkalan Kota, Daniel Gooi Zi Sen; Ahli-Ahli Majlis MBPP, Gerald Mak Mun Keong dan Wong Yuee Harng; barisan penaja, penganjur serta pimpinan komuniti tempatan.

ANTARA persembahan kebudayaan masyarakat Cina yang dipersembahkan sempena perayaan Pesta Tanglung Tanjong 2019.

 

Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Tanjong itu memberitahu bahawa melalui percantuman aktiviti kesenian dan kebudayaan serta pembangunan negeri, Pulau Pinang mampu menjadi sebuah negeri yang kaya dengan kepelbagaian.

 

“Ia akan menjadikan Pulau Pinang negeri yang mampu menarik bukan sahaja para pelabur tetapi juga para pelancong yang akan turut membantu memajukan agenda ekonomi negeri,” katanya.

 

Usai menyempurnakan gimik pelancaran, Kon Yeow turut meluangkan masa melawat ke reruai pameran yang mengambil bahagian serta berswafoto bersama-sama pengunjung yang membanjiri Taman Armenian dekat sini.

TRADISI perayaan pesta tanglung kini diperturunkan kepada generasi muda.

Difahamkan, sejumlah 500 tanglung berwarna-warni dan bentuk menghiasi Taman Armenian atau Armenian Park berkaitan.

 

Orang ramai yang mengunjungi Pulau Pinang sempena cuti panjang, jangan lepaskan peluang merakamkan gambar menarik di sini.

 

Tanglung-tanglung yang ada di sini akan terus menghiasi Taman Armenian sehingga penghujung bulan September ini sempena perayaan Pesta Tanglung.

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : DARWINA MOHD. DAUD