Kerajaan Negeri komited jaga kebajikan masyarakat India

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri Pulau Pinang komited untuk terus menjaga kebajikan rakyat tanpa meminggirkan mana-mana kaum termasuk masyarakat India, selaras dengan aspirasi Visi Penang2030: Negeri Pintar dan Hijau Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara.

 

 

 

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa dalam usaha memperkasakan komuniti India di negeri ini, Kerajaan Negeri bersetuju untuk menaikkan peruntukan geran tahunan Lembaga Wakaf Hindu (HEB) Pulau Pinang daripada RM1.5 juta kepada RM2 juta pada tahun depan bagi melaksanakan pelbagai projek khas merangkumi aspek keagamaan, pendidikan, perubatan dan pembangunan.

 

 

 

“Pada dasarnya, dari aspek pendidikan, seramai 2,932 pelajar India yang layak telah menerima pembiayaan biasiswa bagi melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi dari tahun 2010 sehingga 2023 membabitkan peruntukan keseluruhan berjumlah RM4,180,367.33

 

 

“Namun, usaha ini tidak hanya terhenti di situ, malah kami juga komited untuk menangani masalah tanah yang dihadapi oleh sekolah-sekolah Tamil.

 

 

 

“Sebagai contoh, tanah Kerajaan Negeri Pulau Pinang bernilai RM29 juta baru-baru ini telah diperoleh untuk Sekolah Tamil Rajajee di Ayer Itam, sementara sekolah-sekolah lain seperti Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Azad, SJKT Batu Kawan, SJKT Ladang Valdor, SJKT Subramaniya Bharathee dan SJKT Rajaji juga telah mendapat bantuan tanah daripada pihak Kerajaan Negeri,” ujar Kon Yeow pada Majlis Rumah Terbuka Anjuran Pejabat Ahli Parlimen Tanjong di perkarangan Tapak Arkeologi Sia Boey di sini sebentar tadi.

 

 

Turut hadir, Exco Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital, Zairil Khir Johari; Exco Pembangunan Sosial, Kebajikan dan Hal Ehwal Bukan Islam, Lim Siew Khim; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih, Lim Guan Eng; ADUN Pengkalan Kota, Wong Yuee Harng; Ahli Parlimen Tanjong merangkap Timbalan Menteri Pendidikan, Lim Hui Ying; Ahli Parlimen Jelutong, R.S.N. Rayer dan dif-dif jemputan yang lain.

 

 

 

Mengulas lanjut, Kon Yeow yang juga ADUN Padang Kota percaya bahawa pembinaan sesebuah bangsa Madani bukan hanya perlu kukuh dari segi pembinaan sahsiah, malah ia juga perlu diiringi dengan akses pendidikan tanpa ada yang tercicir.

 

 

“Kerajaan Negeri berharap semua usaha yang direncanakan ini dapat membantu meningkatkan daya tahan masyarakat India sekali gus menjadikan Pulau Pinang sebagai sebuah negeri yang menginspirasikan dunia,” kata Ahli Parlimen Batu Kawan itu lagi.

 

 

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : SIEW CHIA EN