Kerajaan Negeri komited ke arah lahirkan masyarakat harmoni berpaksikan prinsip keadilan, demokrasi dan toleransi

Admin

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri Pulau Pinang amat komited ke arah melahirkan masyarakat harmoni berpaksikan prinsip keadilan, demokrasi dan toleransi.

Kenyataan tersebut dinyatakan Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow pada penganjuran Majlis Penang Street Iftar Bersama-sama Pemimpin Pakatan Harapan Pulau Pinang di Lebuh Buckingham dekat sini sebentar tadi.

Katanya, Kerajaan Negeri akan terus konsisten dengan amalan pentadbiran berasaskan prinsip Cekap, Akauntabiliti dan Telus (CAT) demi memberi kehidupan yang lebih baik kepada seluruh rakyat negeri ini serta mempertahankan hak-hak keberagamaan semua bangsa.

“Kerajaan Negeri percaya dengan asas kukuh ini, Pulau Pinang akan terus kuat dan mampu menepis segala fitnah yang dilontarkan serta terus melangkah ke hadapan.

“Sejajar dengan semangat Malaysia Baharu, adalah menjadi harapan Kerajaan Negeri agar Pulau Pinang terus pesat membangun dalam suasana penuh harmoni di antara semua kaum,” ucapnya yang juga Pengerusi Pakatan Harapan Pulau Pinang pada majlis yang julung kali dianjurkan berkaitan.

Hadir sama, barisan Exco Kerajaan Negeri, Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) serta Ahli-ahli Parlimen Pakatan Harapan Pulau Pinang.

Turut serta memeriahkan majlis, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Agama), Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof Rawa dan Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Muhammad Bakhtiar Wan Chik.

Malah, kira-kira 2,000 pengunjung daripada pelbagai latar belakang agama dan bangsa termasuk pelancog asing  turut mengambil peluang merasai keindahan berbuka puasa.

Mengulas lanjut, Kon Yeow turut menyeru rakyat supaya terus memberikan sokongan padu kepada kepimpinan sedia ada bagi melaksanakan mandat yang diberikan.

“Diharapkan dengan kemajuan negeri yang gemilang ini, ia akan melahirkan sokongan yang tidak berbelah bahagi dan seterusnya membantu Kerajaan Negeri mencapai Visi Penang2030: A Family-focused Green and Smart State that Inspires the Nation,” ulas ADUN Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Tanjong itu.

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : CHAN KOK KUAN

Video : DARWINA MOHD. DAUD