Kerajaan Negeri komited, tanggung kos laksana OPA demi keperluan rakyat

Admin

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri Pulau Pinang hari ini menyeru agar Kerajaan Persekutuan dapat melaksanakan pembenihan awan dengan kadar segera di negeri ini termasuk negeri Kedah.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata, beliau sebelum ini telah mengutuskan dua pucuk surat masing-masing bertarikh 5 Mac 2020 dan 10 April 2020 kepada Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia), Kementerian Alam Sekitar dan Air berhubung usaha ini.

“Hasil maklum balas daripada jabatan berkaitan (MET Malaysia) dalam surat bertarikh 14 April 2020 yang diterima hari ini, menyatakan bahawa pihaknya sentiasa bersedia bekerjasama dalam melaksanakan Operasi Pembenihan Awan (OPA) di wilayah utara apabila diperlukan dan sekiranya keadaan atmosfera bersesuaian.

Justeru, berlandaskan keperluan 3.95 juta penduduk yang menetap di Pulau Pinang dan Kedah yang memerlukan bekalan air berterusan setiap hari bagi mengamalkan kebersihan diri yang baik (dalam melawan wabak COVID-19), Kerajaan Negeri komited melaksanakan pembenihan awan ini.

“Walaupun dengan tanggungan kos sendiri, kita (Kerajaan Negeri) berharap tindakan segera akan diambil pihak berkaitan demi kepentingan dan keselamatan awam rakyat di negeri ini, khasnya,” ujar pada siaran langsung melalui Facebook @ChowKonYeow hari ini.

Mengulas lanjut mengenai kos OPA, Kon Yeow berkata, Kerajaan Negeri perlu menanggung kos penyewaan kapal terbang dan hygroscopic flare.

“MET Malaysia akan membantu daripada segi khidmat kepakaran teknikal sahaja.

“(Dan) dalam pelaksanaan OPA bagi kawasan empangan, MET Malaysia biasanya menggunakan kaedah pembenihan kering,” ulasnya.

Sebagai rekod, Pulau Pinang pernah melakukan OPA menggunakan kaedah pembenihan kering pada 28 April 2019 – 4 Mei 2019 bagi tujuan sumber air dan pertanian dan tahun ini pada 18 Januari 2020 – 21 Januari 2020.

Manakala, OPA menggunakan kaedah pembenihan basah disebabkan jerebu dilakukan pada 19 September 2019.

Berdasarkan rekod Kerajaan Negeri sebelum ini, kos bagi OPA menggunakan kaedah pembenihan kering yang dicadangkan MET Malaysia adalah sekitar RM27,000 sehari.

Dalam perkembangan berkaitan, Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) melalui kenyataan media oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dato’ Ir. Jaseni Maidinsa, hari ini, berkata, kapasiti efektif bagi enam empangan utama di Pulau Pinang dan Kedah adalah rendah.

Keadaan ini berikutan cuaca kering dan panas luar biasa sejak separuh kedua tahun 2019 menyebabkan kapasiti efektif turun mendadak.

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : ALISSALA THIAN