Kerajaan Negeri labur beberapa projek infra atasi masalah air SPS

Admin

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri mengambil beberapa langkah proaktif seperti mewujudkan pam mudah alih dan perancangan mewujudkan Loji Rawatan Air (LRA) dalam mengatasi masalah air di kawasan Seberang Perai Selatan (SPS).

 

 

Menurut Exco Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital, Zairil Khir Johari, Kerajaan Negeri melalui Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) juga telah merangka beberapa projek infrastruktur pembekalan air khususnya mengatasi masalah krisis air terutamanya di Mukim 5 daerah SPS.

 

 

“PBAPP telah merancang sebanyak empat projek infrastruktur bekalan air dengan kos pelaburan sebanyak RM24.6 juta dan sekiranya projek ini siap, ia akan memberi manfaat kepada 18,066 pengguna secara keseluruhan melalui beberapa projek-projek LRA Bukit Panchor,  LRA Kompak Sungai Kerian, tangki sedutan baharu di Rumah Pam Taman Widuri dan Taman Wellesley serta dua LRA mudah alih di Taman Duri Sungai Indah.

 

 

“Walau bagaimanapun, terdapat sedikit kelewatan dalam menyiapkan projek-projek ini mengikut perancangan asal kerana PBAPP perlu memenuhi semua keperluan dan permintaan tambahan dari semasa ke semasa daripada pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi memastikan projek ini dilaksanakan mengikut garis panduan yang telah ditetapkan.

 


“Selain itu, terdapat juga isu-isu di luar jangkaan yang perlu diselesaikan bagi membolehkan projek-projek ini berjalan dengan lancar,” ujar Zairil ketika menjawab soalan lisan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Bakap, Nor Zamri Latif pada Mesyuarat Kedua Penggal Pertama DUN Pulau Pinang Yang Ke-15 di sini sebentar tadi.

 

 

 

 

Tambah Zairil, Kerajaan Negeri juga dalam perancangan untuk membina LRA Sungai Kerian Fasa 1 dengan kapasiti rawatan air sebanyak 114JLH (juta liter sehari) untuk menangani permintaan air yang tinggi secara khusus di SPS sehingga Tahun 2030.

 

 

“Sekiranya projek ini disiapkan, ia akan memberi manfaat kepada 55,000 pengguna di SPS.

 

 

“Kerajaan Negeri telah mendapatkan penjelasan daripada PBAPP dan perkara ini telah diperjelaskan bahawa bayaran bil air bergantung kepada bacaan meter air semasa.

 

 

 

“Jika ketiadaan air, tiada bacaan meter dan tiada bayaran yang akan dikenakan kepada pengguna yang terjejas, justeru, kadar bil yang dikenakan adalah berdasarkan bacaan meter.

 

 

“Sekiranya terdapat isu-isu di luar jangkaan pula, pengguna boleh menghubungi pihak PBAPP untuk tindakan lanjut,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Bunga.

 

 

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : DARWINA MOHD. DAUD