Kerajaan Negeri laksana kajian keberkesanan program ’emas’

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri Pulau Pinang kini sedang menjalankan kajian terperinci bagi melihat sejauhmana keberkesanan pelaksanaan program-program kebajikan ’emas’ di negeri ini sejak 10 tahun lalu.

 

Ketua Menteri, Y.A.B Tuan Chow Kon Yeow berkata, salah satu matlamat utama kajian tersebut adalah untuk melihat sama ada berlaku pertindihan antara program-program kebajikan yang dilakukan di peringkat negeri dan (di peringkat) Persekutuan.

 

“Memandangkan kini Kerajaan Persekutuan Pakatan Harapan juga memperkenalkan beberapa program kebajikan dan kesihatan untuk golongan tersasar, maka kajian keberkesanan (di peringkat negeri) perlu dilaksanakan supaya tidak berlaku pertindihan (program kebajikan).

 

“Kajian ini dipimpin oleh Timbalan Ketua Menteri I bersama-sama Pegawai Kewangan Negeri dan telahpun dibentangkan semalam dalam Mesyuarat Exco. (Hasil kajian) ini akan diteliti dan perbincangan lanjut akan diteruskan dalam mesyuarat akan datang.

 

“Sepertimana yang kita (Kerajaan Negeri) dapati, apabila sesuatu faedah diperkenalkan dan disambut baik oleh rakyat, maka amat susah untuk ditarik balik atau menghentikannya.

 

“Hal ini kerana, rakyat sememangnya mengharapkan program-program sedemikian dapat diteruskan. Maka, Kerajaan Negeri akan memberi pertimbangan sewajarnya terhadap hasrat dan ekspektasi rakyat walaupun ia melibatkan komitmen kewangan yang kian meningkat saban tahun,” ujarnya kepada pemberita sejurus meninjau proses pembayaran bagi Program Penghargaan Warga Emas di Maybank cawangan Plaza MWE dekat sini pagi ini.

 

KETUA Menteri sempat bertemu beberapa penerima Program Penghargaan Warga Emas KADUN Padang Kota di Maybank Plaza MWE pagi ini.

 

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota itu, sejak 10 tahun lalu, Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah membelanjakan lebih RM300 juta bagi membiayai program-program kebajikan di negeri ini.

 

“Program Penghargaan Warga Emas misalnya menjadi antara program yang amat dihargai oleh warga emas, dan kita (Kerajaan Negeri) sememangnya berhasrat untuk meneruskannya pada masa hadapan.

 

“Tambahan pula, saban tahun bilangan kelompok yang menyertai usia emas (60 tahun dan ke atas) bertambah.

 

“(Dan) setelah sekian lama proses pembayaran dilakukan di bank dan Pejabat Daerah, terdapat hasrat untuk melaksanakan pembayaran menggunakan perkhidmatan EFT (Electronic Fund Transfer) iaitu wang dimasukkan terus ke akaun penerima.

 

SEBAHAGIAN penerima dan wakil penerima yang hadir bagi menerima insentif tunai RM130 di sini.

“Tahun lepas, kita telah mulakan pendaftaran (bagi menggunakan perkhidmatan bayaran secara EFT) namun kerana kekangan teknikal, hanya sebahagian penerima sahaja dapat pembayaran melalui perkhidmatan ini tahun ini.

 

“Saya juga telah mengarahkan YB Phee Boon Poh (Exco Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar) serta Pegawai Kewangan Negeri untuk melihat kekangan ini dan berharap tahun hadapan pembayaran dapat dibuat secara EFT,” jelasnya yang gembira apabila proses pembayaran dapat dilaksanakan dengan lancar dan cepat.

 

Apabila disoal sama ada Kerajaan Negeri Pulau Pinang akan memperkenalkan program-program kebajikan baharu bagi golongan tersasar, Kon Yeow berkata, pihaknya masih belum sedia untuk mengumumkan apa-apa inisiatif lagi buat masa ini.

 

Sebagai rekod, seramai 183,440 individu layak menerima manfaat Program Penghargaan Warga Emas tahun ini dan bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Padang Kota adalah membabitkan 4,136 warga emas layak menikmatinya.

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI