BUKIT TENGAH – Kerajaan Negeri melalui Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) melaksanakan projek di bawah Pelan Kontingensi Air Mentah 2030 (RWCP 2030) bagi memastikan jaminan bekalan air di negeri ini.
Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa pelaksanaan projek tersebut membabitkan lapan komponen utama dengan pelaburan berjumlah RM1.184 bilion.
“Projek-projek ini mengandungi dua atau tiga komponen termasuk memanfaatkan sumber air mentah selain daripada Sungai Muda.
“Apabila semua projek ini siap kelak, ia akan meningkatkan kapasiti rawatan air sebanyak 602 juta liter sehari (JLH) menjelang tahun 2023,” katanya kepada pemberita ketika ditemui dekat Pejabat Persatuan Bomba Sukarela Juru, di sini pagi tadi.
Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tengah, Gooi Hsiao-Leung; Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri, Law Keng Ee; Ahli Majlis bagi Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Teh Chuann Yien; Pengarah Pejabat Ahli Parlimen Batu Kawan, Ewe Chee Way serta wakil Persatuan Bomba Sukarela Juru.
Kon Yeow berkata, antara projek terlibat adalah pembangunan loji pengapungan udara terlarut (DAF) di Loji Rawatan Air (LRA) Bukit Panchor yang mula beroperasi pada tahun 2023.
“Projek ini dijangka mampu memberi manfaat kepada 5,000 akaun pengguna PBAPP terutamanya di kawasan seperti Sungai Kechil dan Sungai Acheh dekat Nibong Tebal.
“Selain itu, Pakej 12A di LRA Sungai Dua bagi modul rawatan air tambahan juga dijangka siap pada awal tahun ini dan mampu membekalkan 114 JLH.
“Turut dilaksanakan adalah projek LRA Empangan Mengkuang, LRA Sungai Kerian Fasa 1 dan skim bekalan air Sungai Perai termasuk prarawatan air mentah dengan sasaran siap antara tahun 2025 hingga 2028,” katanya.
Dalam pada itu, Kon Yeow menyatakan bahawa Kerajaan Negeri Pulau Pinang turut melaksanakan dua projek pembinaan saluran paip sepanjang 13 kilometer (km) bersaiz 1,800 milimeter (mm) dari LRA Sungai Dua ke Butterworth dan seterusnya ke Lebuh Macallum.
“Kita juga akan membina saluran paip 1,800 mm sepanjang 3.9 km dari kawasan Macallum ke Kompleks Kolam Air dan Stesen Pam Bukit Dumbar yang akan dilaksanakan pada tahun ini selain pembinaan LRA baharu di Sungai Muda untuk meningkatkan kapasiti rawatan air sebanyak 114 JLH,” ujarnya.
Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS