Kerajaan Negeri laksana tiga projek mitigasi atasi banjir sekitar DUN Sungai Bakap

Admin
photo 2024 06 02 11 34 10

JAWI – Kerajaan Negeri dan Kerajaan Perpaduan di peringkat Pusat komited untuk menyelesaikan isu banjir melalui pelan jangka pendek dan jangka panjang bagi keselesaan penduduk di sekitar kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap.

Exco Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital, Zairil Khir Johari berkata bagi tujuan tersebut, Kerajaan Negeri menyediakan peruntukan berjumlah RM600,000 bagi tujuan tersebut.

“Peruntukan Caruman Saliran Negeri akan disalurkan kepada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Negeri Pulau Pinang untuk melaksanakan tiga projek mitigasi banjir jangka pendek di Kampung Changkat Dain, Kampung Besar dan Kampung Sepulau melibatkan bernilai RM600,000.

“Ketiga-tiga projek ini akan bermula pada akhir Jun 2024 dan dianggarkan mengambil masa tiga bulan disiapkan.

“Antara skop kerja terlibat  adalah melaksanakan kerja mendalamkan laluan sungai yang sempit (bottleneck) sepanjang satu kilometer (km) dan pembinaan struktur tembok penahan (Gabion) untuk penstabilan tebing sungai di sepanjang 120m.

“Pelaksanaan projek ini bakal memberi manfaat kepada 150 keluarga di kawasan terlibat,” katanya pada sidang media berkaitan perkara itu dekat sini, kelmarin.

Hadir sama, Menteri Pendidikan merangkap Ahli Parlimen Nibong Tebal, Fadhlina Sidek; Timbalan Ketua Menteri I merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Maung, Dato’ Dr. Mohamad Abdul Hamid dan wakil-wakil dari Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Pulau Pinang.

Zairil dalam pada itu turut merakamkan ucapan terima kasih kepada Kerajaan Persekutuan yang turut meluskan RM246.5 juta bagi projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Jawi dan Sungai Kechil.

“Kedua-dua projek tebatan banjir ini dijangka dapat menyelamatkan 10,088 penduduk yang terjejas banjir di DUN Jawi dan Sungai Bakap serta mengurangkan kekerapan dan keluasan kawasan banjir sebanyak 1,790 hektar.

“Projek ini akan melindungi kawasan hotspot dan risiko banjir seperti di Taman Sungai Duri Permai, Taman Sungai Duri Indah, Kampung Sungai Duri, Taman Jawi Permai, Taman Jawi Jaya, Kampung Sethu, Perkampungan Jawi, Kampung Titi Hitam, Kampung Surau, Jalan Persekutuan di pekan Jawi dan Jalan Negeri di Changkat.

“Projek ini bermula pada 8 Februari 2024 dengan fasa reka rentuk dan dijangka siap pelaksanaan fizikal di tapak pada 7 Februari 2028,” maklum Zairil yang juga ADUN Tanjung Bunga.

Difahamkan, bagi projek RTB Sungai Kechil pula, pojek ini telah ditender pada 26 April 2024 dan dijangka tutup pada 10 Jun 2024. Jangkaan pelaksanaan projek fizikal pula bakal bermula pada Ogos 2024.

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : DARWINA MOHD. DAUD