Kerajaan Negeri melalui PBAPP sokong tuntutan Kerajaan Negeri Kedah berlandaskan komitmen gazetkan Ulu Muda

Admin

GEORGE TOWN – Pulau Pinang melalui Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) mengulangi pendirian menyokong tuntutan bayaran pampasan Kerajaan Negeri Kedah daripada Pusat ke arah insiatif mengazetkan Hutan Simpan Ulu Muda sebagai kawasan tadahan.

Bagaimanapun, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) PBAPP, Dato’ Ir. Jaseni Maidinsa menyatakan bahawa sokongan tersebut adalah perlu berlandaskan komitmen Kerajaan Negeri Kedah untuk mewartakan Hutan Simpan Ulu Muda.

Menurutnya, buat masa kini, Menteri Besar (Datuk Seri Mukhriz Mahathir) cuma bercakap mengenai pemberhentian pembalakan, namun pihaknya menekankan tentang perlunya menggazetkan (Ulu Muda).

“Isu utama ialah perlu menggazetkan Ulu Muda sebagai kawasan tadahan, jadi dari situ ianya boleh melindungi kawasan tersebut daripada pembalakan di masa hadapan.

“Jika tidak digazetkan, sekarang cuma hentikan pembalakan, sekiranya masa hadapan Menteri Besar baharu dilantik, kemungkinan pembalakan boleh dijalankan semula.

“Oleh sebab itu, saya mahu kawasan tadahan (Ulu Muda) digazetkan… Kerajaan Negeri dan PBAPP menyokong 100 peratus untuk Kedah diberi pampasan dengan berlandaskan komitmen pewartaan berkaitan,” tegas beliau dalam satu sidang media sejurus Majlis Hari Keluarga Untuk Kontinjen Juara Kebangsaan PBAPP di Tech Dome dekat sini petang tadi.

Pada majlis tersebut, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow hadir menyampaikan sijil kemenangan kepada 80 ahli Kontinjen Juara Kebangsaan PBAPP sempena Hari Pekerja 1 Mei lalu di Putrajaya.

Mengulas mengenai pembayaran pampasan berkenaan, Jaseni mencadangkan agar Kerajaan Persekutuan menggunakan sebahagian cukai di tiga buah negeri sebanyak RM18 bilion untuk membiayai pampasan kepada Kedah.

Serentak dalam sidang media sama, Jaseni turut memberitahu bahawa projek Skim Penyaluran Air Mentah Sungai Perak (SPRWTS) kini dalam peringkat kajian komprehensif oleh konsultan dilantik Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli.

Maklumnya, kajian tersebut dijangka mengambil masa selama sembilan bulan.

“Selepas kajian siap, kita akan meneliti semula dan Kerajaan Negeri sememangnya berharap projek ini dilaksanakan secepat mungkin berikutan pada tahun 2025, fasa satu (SPRWTS) perlu disiapkan.

“Ini kerana selepas tahun 2025, permintaan untuk air mentah dijangkakan tidak lagi dapat dipenuhi oleh Sungai Muda,” jelas beliau.

Ditanya mengenai tarif air, Jaseni menyatakan bahawa pihaknya kini menunggu pembentangan pihak Kementerian kepada kabinet berikutan mekanisme tarif sebelum ini adalah daripada Kerajaan Persekutuan terdahulu.

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : ALVIE CHENG

Video : CHAN KOK KUAN