Kerajaan Negeri menerima titah Agong supaya masyarakat Negeri terus kekal bersatu-padu, hidup dalam suasana harmoni

Admin

BAYAN LEPAS – Barisan kepimpinan Kerajaan Negeri mengambil serius titah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah supaya masyarakat di negeri ini terus kekal bersatu-padu serta hidup dalam suasana makmur dan harmoni.

Mengulas lanjut, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa Kerajaan Negeri menerima nasihat yang dititahkan baginda dan berusaha untuk memastikan segala hasil pembangunan negeri dapat membawa manfaat kepada seluruh rakyat.

Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong berangkat pulang menaiki oesat khas selepas menamatkan lawatan kerja selama tiga hari di negeri ini.

“Tuanku bertitah sebanyak tiga kali dengan menasihati supaya kita semua hidup dalam keadaan harmoni dan menjadi contoh sebagai sebuah negeri yang berbilang bangsa serta agama dan dapat hidup bersama dengan baik.

“Kerajaan Negeri akan menerima nasihat ini dan berusaha sungguh-sungguh untuk memastikan pembangunan negeri dapat membawa manfaat kepada semua rakyat di samping mewujudkan semangat perpaduan dan toleransi,” ujar beliau kepada pemberita selepas mengiringi keberangkatan pulang Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong sempena lawatan kerja selama tiga hari di negeri ini dekat Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang di sini pagi tadi.

Ketibaan baginda dan raja permaisuri pada jam 11.45 pagi disambut oleh Yang di-Pertua Negeri (TYT), Tun Dr. Abdul Rahman Abbas dan isteri, Toh Puan Majimor Sharif.

Turut serta, isteri Ketua Menteri, Puan Tan Lean Kee; Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Ir. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman; barisan Exco Kerajaan Negeri; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Abdul Razak Jaafar serta ketua-ketua jabatan Kerajaan Negeri dan Persekutuan.

TYT Tun Dr. Abdul Rahman Abbas dan isteri, Toh Puan Majimor Shariff serta barisan kepimpinan Kerajaan Negeri turut mengiringi keberangkatan kepulangan baginda sultan dan raja permaisuri dekat Lapangan Terbang Antarangsa Pulau Pinang pagi tadi.

Mengulas lanjut, Kon Yeow turut menzahirkan penghargaan di atas pujian Yang di-Pertuan Agong terhadap kemajuan pembangunan di Pulau Pinang sebagaimana yang dititahkan baginda sebelum ini.

“Kita juga berasa bersyukur kerana semua program yang diaturkan sempena lawatan kerja Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong berjalan dengan lancar.

“Kerajaan Negeri berharap agar Tuanku berdua akan mengambil kesempatan pada masa akan datang untuk kembali melawat Pulau Pinang,” ulasnya.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZI
Video : DARWINA MOHD. DAUD