Kerajaan Negeri, PBT akan terus pantau aktiviti kerja tanah tanpa kebenaran – Exco

Admin
9e7a9bae bbee 4d66 9c85 21a3106664da LAWATAN tapak kes kerja-kerja tanah tanpa kebenaran di kawasan jelapang padi dekat Permatang Ara, Permatang Pasir di sini pada 9 Mac 2025.

PERMATANG PASIR – Kerajaan Negeri dan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) akan terus memantau aktiviti menambun tanah tanpa kebenaran berwajib di kawasan jelapang padi yang dianggap akan menjejaskan usaha Kerajaan Persekutuan dalam meningkatkan kadar pengeluaran beras negara.

 

0e81cbec ef14 4336 a847 daa7a34e8e68
JASON H’ng Mooi Lye (depan, kanan) dan Baderul Amin Abdul Hamid (depan, kiri) dalam sidang media berkaitan di sini menjelang tengah hari tadi.

Exco Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jason H’ng Mooi Lye berkata demikian kepada pemberita, seusai melawat tapak projek kerja-kerja tanah tanpa kebenaran di Lot 1342 dan 1354, Mukim 5, Permatang Ara, Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) di sini pada 9 Mac 2025.

“Kita perlu menjaga rantaian makanan khususnya tanah-tanah bendang.

“Kita tidak akan bertolak ansur dengan aktiviti penyalahgunaan kuasa (iaitu merujuk) pada kerja-kerja menambun tanah tanpa kebenaran di kawasan bendang,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jawi.

Sehubungan itu, beliau berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan bahawa di atas kedua-dua lot tanah tersebut di sini akan diwujudkan ‘lot lidi’.

Difahamkan, ‘lot lidi’ merujuk kepada sebidang tanah yang dipecah-pecahkan kepada lot kecil oleh pemiliknya untuk dijual; sementara sekalian pembeli tidak menerima geran sebagai bukti sah pemilikan dan mungkin hanya menerima Surat Ikatan Amanah.

Oleh kerana tiada geran, maka, lot lidi ini tidak boleh digunakan sebagai cagaran atau diwariskan kepada anak-anak selepas kematian ‘pemilik’.

Mengulas lanjut mengenai aktiviti mewujudkan ‘lot lidi’ atau kerja-kerja menambun tanah tanpa kebenaran Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Datuk Bandar MBSP, Dato’ Baderul Amin Abdul Hamid berkata, sejak tahun lepas direkodkan sejumlah 28 kes di Daerah Seberang Perai Utara (SPU); 26 kes di Daerah SPT dan tujuh kes di Daerah Seberang Perai Selatan (SPS).

“Macam di SPS sahaja, tahun lepas (2024) ada lima kes dan tahun ini ada dua kes.

“Kebiasaannya dia (broker) akan beli (tanah bendang) dari tuan tanah dan jual kepada individu-individu; jadi susah untuk kesan dia (broker) sebab namanya tidak ada atas geran.

“Akhirnya apabila kes (lot lidi) ini kita (MBSP) bahawa ke mahkamah ada pembeli (lot lidi) dan pembeli selalunya memberitahu pihak mahkamah bahawa mereka tidak tahu bahawa kerja-kerja tanah dilakukan tanpa kebenaran (PBT),” jelasnya lagi.

Terdahulu, Baderul Amin memberitahu bahawa satu pihak Orang Kena Saman (OKS) pada 1 Ogos tahun lepas telah hadir ke Mahkamah Majistret Bukit Mertajam, mengaku bersalah atas pertuduhan melakukan kerja-kerja tanah dan mewujudkan ‘lot lidi’ di tanah sawah padi dan dijatuhkan hukuman denda RM25,000.

Menurutnya lagi, beliau memberitahu OKS pada 19 Ogos tahun lepas turut mengaku bersalah atas dua pertuduhan menambun tanah sawah padi bagi tujuan mewujudkan ‘lot lidi’ yang mana masing-masing didenda sebanyak RM10,000 dan RM5,000.

 

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD