GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri Pulau Pinang akan menjalinkan kerjasama dengan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi menangani aktiviti lumba haram yang masih berleluasa di negeri ini.
Exco Belia, Sukan dan Kesihatan, Daniel Gooi Zi Sen berkata, antara usaha yang boleh dilaksanakan adalah dengan menjalankan lebih banyak operasi sekatan jalan raya terutamanya di lokasi-lokasi hotspot lumba haram.
“PDRM telah melaksanakan operasi samseng jalanan atau sekatan jalan raya di kawasan Kuala Sungai Pinang sehingga Kampung Perlis sebanyak dua kali operasi sebulan.
“Sehingga November 2024, sejumlah 22 operasi telah dilaksanakan oleh pihak PDRM di kawasan terbabit.
“Manakala bagi jumlah operasi secara menyeluruh di Daerah Barat Daya pula adalah sebanyak 8 kali sebulan, dan sehingga kini terdapat 27 tangkapan telah dibuat melibatkan 430 sitaan,” katanya semasa mengulas isu yang dibangkitkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Betong, Mohamad Shukor Zakariah pada sesi penggulungan Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang ke-15 di sini sebentar tadi.
Dalam pada itu, Zi Sen berkata Jabatan Kesihatan Negeri Pulau telah menjalankan serbuan dan mengenakan tindakan penguatkuasaan terhadap dua buah pusat kecantikan atau premis estetik yang menjalankan operasi tanpa kebenaran.
Katanya, sehingga kini, terdapat 34 buah klinik atau premis estetik yang beroperasi dengan kebenaran di negeri ini.
“Bukan itu sahaja, pihak berkuasa juga sedang membuat risikan terhadap lima buah lagi premis estetik berdasarkan aduan yang diterima,” katanya ketika menjawab soalan ADUN Batu Lancang, Ong Ah Teong.
Selain itu, Zi Sen yang juga ADUN Padang Lalang berkata, pihak berkuasa juga telah mengambil tindakan undang-undang terhadap 15 buah Farmasi Komuniti yang jelas melanggar undang-undang.
“Sehingga Oktober 2024, terdapat sejumlah 325 Farmasi Komuniti yang aktif dan berlesen di Pulau Pinang.
“Pihak Jabatan Kesihatan Negeri telah pun melaksanakan pemeriksaan terhadap kesemua 325 Farmasi Komuniti ini.
“Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang melalui Cawangan Penguatkuasaan Farmasi (CPF) Pulau Pinang dengan kerjasama PDRM telah menjalankan operasi khas dinamakan Ops Joint pada 4 November 2024.
“Melalui operasi ini, hampir 70,000 kotak produk tradisional tidak berdaftar dan lebih 70 kotak kosmetik tidak bernotifikasi telah berjaya dirampas dengan anggaran hasil rampasan mencecah RM10.1 juta,” ujarnya.
Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS & AHMAD ADIL MUHAMAD