GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri Pulau Pinang buat julung kalinya memperkenalkan garis panduan bagi pengoperasian pusat jagaan ibu selepas bersalin di negeri ini.
Exco Pembangunan Sosial dan Hal Ehwal Bukan Islam, Chong Eng berkata garis panduan tersebut dirangka bagi memudahkan pengusaha pusat jagaan ibu bersalin membuat permohonan pendaftaran sehingga mendapat kelulusan yang sah.
“Tujuan utama penyediaan garis panduan ini adalah untuk memastikan keselamatan dan kesihatan semua pihak yang terlibat khususnya golongan ibu, anak-anak dan pengusaha dapat dijamin.
“Kerajaan Negeri Pulau Pinang sememangnya amat prihatin mengenai keselamatan dan kesihatan penduduk terutamanya golongan ibu atau anak-anak.
“Oleh itu, kami (Kerajaan Negeri) akan cuba sedaya upaya untuk mewujudkan suatu persekitaran yang sempurna dan adil bagi semua pihak melalui garis panduan ini,” katanya semasa berucap pada sesi taklimat garis panduan berkaitan dekat Komtar di sini pagi tadi.
Turut Hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Pinang, Lim Siew Khim dan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Wanita Pulau Pinang (PWDC), Ong Bee Leng.
Justeru, Chong Eng berkata semua pengusaha disarankan untuk bekerjasama dalam mematuhi pada garis panduan yang ditetapkan dan segera mendapatkan kelulusan bagi pusat jagaan masing-masing.
“Jangan berlengah atau melambatkan proses pendaftaran kerana ia merupakan suatu peluang keemasan yang disediakan oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang kepada semua pengusaha.
“Kerajaan negeri akan bagi tempoh khusus bagi semua pengusaha mendaftarkan pusat jagaan ibu selepas bersalin sebelum tindakan diambil.
“Pada masa sama, saya ingin menyeru kepada kedua-dua Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) supaya memastikan garis panduan ini difahami dengan jelas dan seterusnya membantu pengusaha-pengusaha mendapatkan permit pengoperasian mereka,” serunya lagi.
Mengulas lanjut, Chong Eng yang juga ADUN Padang Lalang berkata bahawa garis panduan tersebut disediakan dalam dua bahasa iaitu dalam bahasa Melayu dan bahasa Cina.
“Langkah ini adalah bagi memudahkan pengusaha-pengusaha untuk memahami dan mematuhi garis panduan ini dengan lebih jelas.
“Mungkin garis panduan ini mempunyai beberapa kekurangan yang tidak dapat dilihat pada masa ini tetapi jika terdapat sebarang kekurangan, maka kami akan berusaha untuk memperhalusi lagi garis panduan ini sekiranya ianya di bawah had kuasa Kerajaan Negeri,” katanya.
Chong Eng berkata, bagi mereka yang berminat untuk mendapatkan garis panduan tersebut anda boleh hubungi pegawai-pegawai di pejabat beliau.
Menyentuh mengenai kelewatan penerbitan garis panduan tersebut, Chong Eng berkata ia berpunca daripada punca kuasa yang tidak jelas.
“Sebelum ini tidak ada mana-mana pihak yang merasakan operasi pusat jagaan ibu bersalin berada di bawah tanggungjawab kerana perusahaan ini tidak berada di bawah kategori pusat jagaan.
“Jadi, untuk menyediakan satu punca kuasa, kita memerlukan kesungguhkan politik termasuk daripada Kerajaan Pusat kerana lessen adalah di bawah jabatan teknikal.
“Walaupun Kerajaan Negeri yang keluarkan garis panduan ini tetapi MBPP dan MBSP adalah pihak yang bertanggungjawab untuk mengeluarkan lesen pengoperasian kepada pengusaha,” jelasnya lagi.
Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR