Kerajaan Negeri perkenal Program Sukan Untuk Semua, harap tingkat penglibatan belia dalam sukan floorball

SOON Lip Chee (berbaju putih) menyerahkan piala kepada pasukan Piranhaz selepas pasukan tersebut muncul juara kategori lelaki di kejohanan Tun Abdul Razak International Floorball Championship 2018 dekat USM, semalam.

BATU UBAN – Dalam merancakkan pembangunan sukan di Pulau Pinang, Kerajaan Negeri mengambil inisiatif dengan memperkenalkan Program Sukan Untuk Semua.

Menurut Exco Belia dan Sukan, Soon Lip Chee, program yang akan mula diperkenalkan pada tahun hadapan itu akan mempromosikan sukan berlainan setiap bulan.

 “Salah satu sukan yang akan kita (Kerajaan Negeri) promosikan adalah sukan floorball yang agak baharu di negara ini.

“(Dan) saya berharap orang ramai khasnya belia dapat menceburi dan melibatkan diri dalam sukan ini agar suatu hari nanti mampu muncul antara sukan popular di Malaysia seperti badminton, bola sepak, hoki dan lain-lain sukan lagi,” ujar Lip Chee yang hadir pada Majlis Penyampaian Hadiah Tun Abdul Razak International Floorball Championship 2018 dekat Kompleks Sukan Azman Hashim, Universiti Sains Malaysia (USM) semalam.

Hadir sama, Presiden Persatuan Floorball Malaysia, Dr. Rizal Razman dan wakil-wakil dari USM.

Dalam pada itu, Lip Chee berharap selepas ini Pulau Pinang akan dapat menjadi tuan rumah lagi bagi kejohanan floorball memandangkan penganjuran Tun Abdul Razak International Floorball Championship 2018 adalah kejohanan pertama diadakan di luar Lembah Klang.

Sebanyak 22 pasukan dari dalam dan luar negara mengambil bahagian antaranya dari Singapura, India, Indonesia, Denmark dan tidak ketinggalan kelab-kelab floorball dari Malaysia sendiri.

Pada kejohanan tersebut, pasukan Piranhaz muncul juara bagi kategori lelaki selepas menewaskan fireBRANDS di tempat kedua, manakala tempat ketiga diraih oleh pasukan Joga Bonito.

Untuk kategori wanita, aksi sengit antara pasukan Putrajaya dan UM Leads terpaksa mengheret keputusan seri 2-2 kepada penentuan penalti sebelum UM Leads mengetepikan Putrajaya 3-1, dengan pasukan Genrocks di tempat ketiga.

Teks & Gambar: WATAWA NATAF ZULKIFLI