Kerajaan Negeri pertimbang integrasikan Pas Mutiara dan perkhidmatan feri

EORGE TOWN – Kerajaan Negeri sedang mempertimbangkan untuk melaksanakan integrasi antara Pas Mutiara (pas bulanan dibiayai oleh Kerajaan Negeri) bersama-sama perkhidmatan feri dalam mengurangkan beban pengguna.

 

 

Exco Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital, Zairil Khir Johari berkata subsidi ditawarkan itu pada masa sama mampu memberi manfaat khususnya dalam memaksimumkan penggunaan pengangkutan feri haharu tersebut.

 

 

“Bagi mengurangkan lagi beban rakyat untuk jangka masa panjang, khususnya penumpang tetap yang menggunakan perkhidmatan feri secara kerap, saya telah berbincang dengan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook dan secara prinsip bersetuju untuk mengintegrasikan Pas Mutiara dengan perkhidmatan feri agar satu kadar yang disubsidi dapat ditawarkan.

 

 

“Sungguhpun begitu, cadangan ini perlu diperincikan dengan lebih mendalam terlebih dahulu dan pelaksanaannya juga tertakluk kepada integrasi sistem kedua-dua bas dan feri yang dijangka mengambil masa beberapa bulan.

 

 

“Kerajaan Negeri terus komited untuk bekerjasama dengan semua pihak termasuk Kementerian Pengangkutan bagi mencapai hasrat untuk meningkatkan penggunaan perkhidmatan pengangkutan awam di seluruh Negeri Pulau Pinang,” jelas Zairil yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Bunga.

 

 

 

Pada 6 September lalu, Penang Port Sdn. Bhd. selaku pengendali perkhidmatan mengumumkan tambang baharu bagi pejalan kaki berharga RM2 sehala atau RM4 untuk pergi dan balik.

 

 

 

 

Justeru, Kerajaan Negeri menyambut baik Pas Bulanan dengan diskaun 50 peratus sehingga 31 Disember 2023 yang ditawarkan oleh pengendali bagi semua penumpang pejalan kaki warganegara Malaysia.