Kerajaan Negeri pertimbang mulakan kerja awalan pembinaan masjid di Batu Kawan

Admin

BUKIT TAMBUN – Kerajaan Negeri Pulau Pinang mempertimbangkan untuk memulakan kerja-kerja awalan bagi pembinaan Masjid Bandar Raya dekat Batu Kawan di sini dalam kadar yang segera.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa langkah itu adalah bagi mendesak Kementerian Kewangan untuk mempercepatkan peruntukan berjumlah RM6.6 juta yang diluluskan semasa pemerintahan kerajaan Pakatan Harapan.

Chow Kon Yeow ketika sesi dialog bersama penduduk Taman Mutiara di sini sebentar tadi.

“Di pihak Kerajaan Negeri Pulau Pinang, kita sudah sediakan tapak dan telah meluluskan peruntukan sebanyak RM4.4 juta melalui Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP).

“Selain itu, agensi Kerajaan Negeri iaitu Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) juga telah menjalankan kerja-kerja menambun tanah di tapak berkenaan.

“Oleh itu, saya akan berbincang dengan Timbalan Ketua Menteri I selaku Yang Dipertua MAINPP sama ada Kerajaan Negeri boleh memulakan kerja-kerja awalan walaupun peruntukan daripada Kerajaan Persekutuan masih belum diterima,” katanya pada sesi dialog bersama-sama penduduk Taman Mutiara, Bandar Cassia sebentar tadi.

Antara penduduk setempat yang hadir.

Hadir sama, Timbalan Ketua Menteri II, Prof. Dr. P. Ramasamy; mantan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tambun, Goh Choon Aik; Setiausaha Agung DAP Pusat, Anthony Loke Siew Fook dan wakil-wakil penduduk setempat.

Pada masa sama, Kon Yeow yang juga calon bagi Parlimen Batu Kawan turut menzahirkan penghargaan kepada Yang Dipertua Negeri (TYT), Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak atas keprihatinan beliau terhadap projek tersebut.

Penduduk menyerahkan memorandum berkaitan isu setempat kepada Kon Yeow.

“Kerajaan Negeri amat menghargai keprihatinan TYT Tun Ahmad Fuzi Abdul terhadap projek berkaitan dengan bertindak menulis surat kepada dua perdana menteri sebelum ini untuk meluluskan segera peruntukan bagi pembinaan masjid bandar raya ini,” katanya.

Terdahulu, wakil penduduk Taman Mutiara membangkitkan isu pembinaan Masjid Bandar Raya di Batu Kawan yang masih tertangguh walaupun peruntukan daripada Kerjaan Negeri sudah diluluskan.

Penduduk turut menggesa projek tersebut dimulakan secepat mungkin demi manfaat penduduk setempat memandangkan ketika ini mereka terpaksa menggunakan masjid lama yang dalam keadaan uzur.

Pada Ogos 2019, Kerajaan Negeri Pakatan Harapan Pulau Pinang mengemukakan cadangan pembinaan sebuah masjid baharu di bandar Batu Kawan dengan anggaran peruntukan kira-kira RM5 juta.

Pojek pemajuan masjid tersebut yang turut meliputi kawasan perkuburan orang Islam akan dibangunkan di tanah seluas empat ekar milik agensi Kerajaan Negeri, PDC.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR
Video : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS