GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri Pulau Pinang akan mempertimbangkan untuk menambah pemberian ex-gratia (bayaran) kepada Guru-guru Kelas Al-Quran dan Fardhu ‘Ain (KAFA) di negeri ini.
Exco Hal Ehwal Agama Islam, Pembangunan Industri & Perhubungan Masyarakat, Dato’ Ir, Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman berkata demikian dalam teks ucapan penggulungan yang dibacakan oleh Exco Perdagangan Antarabangsa & Dalam Negeri, Hal Ehwal Pengguna dan Pembangunan Keusahawanan, Dato’ Abdul Halim Hussain semasa Mesyuarat Pertama Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri Yang Ke-14 di sini, 9 Ogos lalu.
Kenyataan tersebut adalah sebagai mengulas cadangan yang dikemukakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Dua, Muhammad Yusoff Mohd. Noor dan juga ADUN Permatang Pasir, Muhammad Faiz Fadzil semasa membahaskan ucapan perasmian Tuan Yang di-Pertua (TYT), baru-baru ini.
Ahmad Zakiyuddin yang juga Timbalan Ketua Menteri I merangkap ADUN Pinang Tunggal menjelaskan, guru-guru KAFA pada masa ini menerima bayaran daripada Kerajaan Pusat melalui Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) sebanyak RM900 sebulan dan Kerajaan Negeri memberikan tambahan ex-gratia sebanyak RM50 sebulan.
Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : DARWINA MOHD. DAUD