Kerajaan Negeri peruntuk RM300,000 naik taraf Taska dan pusat jagaan kanak-kanak

Admin

GEORGE TOWN – Sebanyak RM300,000 telah diperuntukkan oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang untuk menaik taraf taman asuhan kanak-kanak (Taska) dan pusat jagaan kanak-kanak di negeri ini bagi tempoh tiga tahun sehingga 2023.

Exco Pembanguna Sosial dan Hal Ehwal Bukan Islam, Chong Eng berkata daripada jumlah itu, sebanyak RM194,000 geran peruntukan tersebut telah diluluskan bagi tahun pertama membabitkan 11 buah Taska dan pusat jagaan kanak-kanak.

“Ramai yang melihat perusahaan Taska dan pusat jagaan kanak-kanak serta warga emas sebagai suatu perniagaan tetapi bagi saya ia merupakan perkhidmatan sosial yang penting.

“Hal ini kerana sehingga hari ini kerajaan sama ada negeri mahupun Pusat masih tidak mampu mewujudkan pusat seperti ini dan kita bergantung sepenuhnya kepada pihak swasta.

“Oleh itu, kita perlu melihat Taska dan pusat jagaan ini sebagai khidmat masyarakat dan kita perlu menyalurkan segala bantuan yang termampu untuk membantu mereka menyediakan perkhidmatan terbaik.

“Sebab itulah Kerajaan Negeri menyediakan geran peruntukan tersebut yang bertujuan untuk meringankan beban kewangan pengusaha Taska dan pusat jagaan kanak-kanak dan membantu mereka meningkatkan kualiti perkhidmatan,” katanya dalam Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang Ke-14 dekat Bangunan Dewan Undangan Negeri, di sini sebentar tadi.

Chonge Eng yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Lalang berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan daripada ADUN Batu Uban, A. Kumaresan.

Chong Eng berkata, setakat ini terdapat sebanyak 123 Taska dan 461 Taman Didikan Kanak-Kanak (Tadika) negeri ini mempunyai lesen sah manakala yang 45 (Taska) dan 86 (Tadika) lagi masih tidak berdaftar.

“Jumlah pusat jagaan warga emas yang berdaftar di negreri ini pula sebanyak 28 buah manakala 56 buah adalah tidak berdaftar,” jelasnya.

Justeru, beliau berkata pelbagai langkah telah diambil untuk membolehkan pengusaha memperoleh lesen antaranya menjalankan advokasi dan memberi khidmat nasihat kepada pengusaha yang terlibat.

“Kerajaan Negeri juga mengadakan taklimat serta sesi dialog bersama pengusaha bagi memberi penerangan berkaitan proses pendaftaran.

“Kita juga menjalankan sesi konsultasi bagi mengenal pasti dan membantu pengusaha untuk berdaftar.

“Walaupun usaha ini dijalankan, masih ramai pengusaha yang tidak tampil untuk membolehkan mereka mendapat lesen,” ujarnya lagi.

Susulan itu, Chong Eng berkata Kerajaan Negeri melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Pulau Pinang membuat pemantauan berkala terhadap Taska dan pusat jagaan kanak-kanak sama yang berdaftar mahupun tidak berdaftar.

“Langkah ini adalah bagi memastikan pengusaha Taska dan pusat jagaan segera mendaftarkan operasi mereka mengikut akta serta peraturan dan syarat yang ditetapkan.

“Selain itu, notis peringatan juga akan dikeluarka kepada pengusaha yang tidak berdaftar,” katanya lagi.

Oleh : SUNARTI YUSOFF

Gambar : ALISSALA THIAN