Kerajaan Negeri peruntuk lebih RM12.97 juta bagi bayaran elaun MPKK tahun ini

img 20241010 wa0003

PERMATANG BERANGAN – Kerajaan Negeri Pulau Pinang memperuntukkan sejumlah RM12,975,000 untuk pembayaran elaun kepada keseluruhan 375 anggota Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) di seluruh negeri pada tahun ini.

Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Dr. Mohamad Abdul Hamid berkata jumlah itu meliputi kadar elaun tetap pengerusi sebanyak RM700, elaun tetap setiausaha (RM600) dan elaun tetap bendahari (RM300).

Beliau berkata, elaun pengurusan mesyuarat pula adalah sebanyak RM100 manakala elaun kehadiran mesyuarat berjumlah RM100 bagi 12 kali mesyuarat setahun.

“Pemberian elaun ini membuktikan keprihatinan dan penghargaan Kerajaan Negeri terhadap usaha gigih anggota MPKK dalam menyalurkan dasar-dasar kerajaan kepada masyarakat.

“Selain itu, ia juga untuk memastikan kebajikan rakyat terus terbela di tengah-tengah cabaran kos sara hidup yang semakin meningkat,” katanya ketika berucap pada Majlis Penyerahan Watikah Pelantikan MPKK dekat Dewan Midtown Perda di sini semalam.

img 20241010 wa0005img 20241010 wa0031img 20241010 wa0029img 20241010 wa0009

Pada majlis tersebut, seramai 224 MPKK menerima watikah pelantikan bagi penggal 2024 sehingga 2028 membabitkan 84 MPKK dari Daerah Seberang Perai Utara, Daerah Seberang Perai Tengah (84) dan Daerah Seberang Perai Selatan (56).

Turut hadir, barisan Exco Kerajaan Negeri dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) serta Pegawai Penyelaras Khas (PPK) Kerajaan Perpaduan Negeri Pulau Pinang.

Mohamad berkata, MPKK merupakan jentera terpenting dalam memastikan dasar-dasar Kerajaan Negeri sampai ke peringkat akar umbi.

“Inilah barisan hadapan yang memainkan peranan besar dalam membawa suara rakyat, menyampaikan keperluan komuniti, dan menyalurkan dasar-dasar pembangunan ke peringkat bawah.

“Oleh itu, saya menyeru kepada semua anggota MPKK agar lebih peka dan proaktif dalam menjalankan tugas kerana MPKK bukan hanya pemimpin pada peringkat kampung, tetapi juga wakil Kerajaan Negeri yang terlibat secara langsung dalam membangunkan masyarakat setempat,” serunya.

Tambah beliau, setiap ahli MPKK perlu memahami dengan mendalam objektif penubuhan dan memastikan hala tuju institusi jelas dan selari dengan dasar-dasar kerajaan yang telah ditetapkan.

“Hal ini supaya tanggungjawab yang diamanahkan dapat dilaksanakan dengan penuh komitmen dan integriti.

“Kerajaan Negeri sentiasa mengambil berat tentang setiap masalah yang dihadapi oleh rakyat, dan MPKK adalah mekanisme utama yang digunakan untuk menyalurkan maklumat serta memastikan kebajikan semua lapisan masyarakat terus terjaga,” ujarnya lagi.

Katanya lagi, setiap anggota MPKK perlu menjadi contoh kepada masyarakat dalam memupuk semangat perpaduan dan kerjasama yang erat.

Tambahnya, sebagai barisan hadapan, ahli MPKK mesti mempunyai visi yang jelas dan keupayaan untuk memimpin komuniti masing-masing dengan bijaksana.

“Bekerjasama dengan rakyat, bersikap terbuka dan demokratik, serta menjadikan komuniti sebagai rakan strategik adalah elemen utama dalam memajukan kawasan masing-masing.

“Saya yakin dengan komitmen yang tinggi, kita mampu mencapai lebih banyak kejayaan dalam pembangunan sosial dan ekonomi setempat,” katanya.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS