Kerajaan Negeri peruntuk RM104,000 kepada barisan atlet cemerlang di Para SUKMA

Admin
b4d26871 321f 4ec0 9be2 80969a1deeab

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri meluluskan peruntukan RM104,000 melalui Skim Insentif Kemenangan Sukan (SKIMAS) kepada barisan atlet para yang melakar kejayaan pada temasya Para Sukan Malaysia (SUKMA) XXI Sarawak tahun lalu.

Exco Belia, Sukan dan Kesihatan, Daniel Gooi Zi Sen berkata Kerajaan Negeri sentiasa komited untuk menyokong atlet para dengan memperkenalkan SKIMAS sejak tahun 2014 sebagai penghargaan kepada atlet yang bertanding pada peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

“Insentif ini diberikan kepada para pemenang pingat yang bertanding dalam pelbagai jenis sukan, termasuk renang,  olahraga, tenpin boling, memanah, boling padang, angkat berat, badminton dan boccia.

“Sokongan ini adalah bukti komitmen Kerajaan Negeri dalam menghargai usaha atlet-atlet kita yang telah berjuang mengharumkan nama negeri.

 

“Namun, kejayaan ini bukan hasil usaha atlet semata-mata, sebaliknya ia adalah hasil pengorbanan bersama semua pihak.

“Justeru, kepada jurulatih, pengurus, persatuan sukan dan keluarga para atlet, terima kasih di atas sokongan padu anda.

“Tanpa bimbingan, dorongan dan pengorbanan anda semua, kejayaan ini tidak akan tercapai,” ujarnya pada Majlis Penyampaian Hadiah Kemenangan SKIMAS Sukan Para Sukma XXI Sarawak 2024 dekat Dewan Sri Pinang di sini petang tadi.

Hadir sama, Pengarah Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang (MSNPP), Harry Chai Heng Hua dan Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Pulau Pinang, Mozakir Buyong Mokhtar.

Pada Temasya Para Sukma XXI Sarawak lepas, Pulau Pinang mempertaruhkan 83 atlet, disokong oleh 31 jurulatih, pengurus dan penggerak, serta 18 pegawai sokongan.

Atas usaha gigih tersebut, kontinjen Pulau Pinang berjaya meraih sembilan pingat emas, 15 pingat perak dan 19 pingat gangga.

64006014 7caf 4d0a 8bb4 fb1463fdc848

Salah seorang atlet para badminton, Amirah Mohamad Ali 37, ketika ditemui meluahkan rasa gembira atas penerimaan insentif SKIMAS walaupun pertama menyertai Para SUKMA.

“Ini akan menjadi dorongan kepada saya untuk melakar lebih banyak kejayaan selepas ini walaupun buat pertama kali bertanding dalam Para SUKMA.

“Saya sangat meminati sukan badminton sebab ia lebih cepat berpeluh berbanding sukan lain,” katanya yang berkhidmat di Ibu Pejabat Jabatan Bomba dan Penyelamat Pulau Pinang.

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : LAW SUUN TING