Kerajaan Negeri peruntuk RM15 juta anjur snuker, billiard pada Sukan SEA 2027

Admin
img 20241126 wa0045

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri Pulau Pinang bersetuju memperuntukkan sejumlah RM15 juta bagi penganjuran sukan snuker dan billiard pada Sukan SEA 2027.

Exco Belia, Sukan dan Kesihatan, Daniel Gooi Zi Sen berkata bagaimanapun, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menerusi Jawatankuasa Penganjur sedang memperhalusi cadangan untuk menawarkan beberapa sukan tambahan kepada negeri Pulau Pinang menerusi peruntukan yang dipersetujui.

“Perkara ini akan turut mengambil kira kesesuaian kemudahan sukan sedia ada yang terdapat di Pulau Pinang.

“Kerajaan Negeri yakin penganjuran acara sukan bertaraf antarabangsa bakal membantu meningkatkan pertumbuhan ekonomi tempatan, meningkatkan imej dan reputasi negeri serta negara pada peringkat global,” katanya ketika menjawat soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machang Bubuk, Lee Khai Loon dalam Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang ke-15 di sini sebentar tadi.

Mengulas lanjut, Zi Sen berkata Kerajaan Negeri telah menghantar permohonan bagi menganjurkan Sukan Snuker bertempat di Akademi Billiard dan Snuker Wilayah Utara di Bayan Baru kepada KBS.

“Akademi ini juga mempunyai kemudahan sukan lain (di Setia Spice Arena) dan kemudahan penginapan di lokaliti serta aktiviti ekonomi setempat yang strategik.

“Namun demikian, perbincangan selanjutnya akan diadakan bersama dengan KBS serta negeri-negeri penganjur yang lain bagi memuktamadkan acara sukan serta lokasi yang terlibat di Negeri Pulau Pinang,” ujarnya yang juga ADUN Padang Lalang.

Zi Sen berkata Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang (MSNPP) bersama dengan Persatuan Sukan Negeri dan Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang telah melaksanakan pelbagai inisiatif bagi membangunkan sukan serta atlet-atlet di negeri ini.

“Antara usaha yang dilakukan termasuklah memberikan latihan berterusan dan menyediakan fasiliti sukan yang lengkap dan berkualiti tinggi.

“Selain itu, apek penjagaan kesihatan atlet-atlet negeri turut diberikan perhatian, di samping memberi peluang kepada atlet untuk menyertai pertandingan di pelbagai peringkat, dari peringkat sekolah hingga antarabangsa.

“MSNPP juga menerapkan pendidikan mengenai sukan, menampung kos latihan, peralatan dan pertandingan para atlet serta menyediakan program mentorship bagi meningkatkan motivasi atlet muda,” katanya.

Beliau berkata, inisiatif yang dilaksanakan akan dapat memastikan atlet-atlet muda mempunyai platform yang kuat bagi mencapai kejayaan dalam sukan masing-masing.

“Usaha ini adalah selari dengan usaha Majlis Sukan Negeri Se-Malaysia dalam memastikan Pasukan Kebangsaan Negara sentiasa mempunyai atlet pelapis dan atlet sukan yang terbaik.

“Ini akan dapat membantu atket meraih kemenangan di pentas sukan antarabangsa meliputi Sukan SEA, Sukan Asia, Sukan Komanwel, Sukan Dunia dan Sukan Olimpik,” ujarnya.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR & NOOR SITI NABILAH NOORAZIS