Kerajaan Negeri peruntuk RM19.2 juta Biasiswa Kecil Negeri (BKN) Pulau Pinang kepada 30,271 pelajar sejak 2008 – Exco

Admin

GEORGE TOWN – Seramai 644 orang pelajar baharu dari 103 sekolah di seluruh Pulau Pinang terpilih menerima Biasiswa Kecil Negeri (BKN) Pulau Pinang untuk tahun ini.

Pada majlis pemberian cek yang berlangsung di Auditorium A, Komtar sebentar tadi, Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo berkata atas dasar keprihatinan Kerajaan Negeri, BKN telah ditambah baik sebanyak dua kali dengan menaikkan kadar bayaran pada tahun 2009 dan 2013.

Kenaikan kali pertama yang dibuat pada tahun 2009 melibatkan peningkatan sebanyak 100 peratus iaitu dari RM240 kepada RM480 bagi pelajar menengah rendah dan dari RM360 kepada RM720 (pelajar menengah atas).

Manakala, kali keduanya pula iaitu pada tahun 2013, di mana kadar BKN ini telah dinaikkan sebanyak RM120 setiap kategori menjadikan kadar baharu bagi BKN adalah RM600 bagi menengah rendah dan RM840 (menengah atas).

Untuk tujuan itu, sejak tahun 2008, Kerajaan Negeri telah membelanjakan sebanyak RM19.2 juta yang mana ia telah dimanfaatkan oleh seramai 30, 271 orang pelajar,” ujarnya dalam Majlis Penyerahan Cek BKN Pulau Pinang Tahun 2018 bagi Daerah Timur Laut (DTL) dan Daerah Barat Daya (DBD) di sini pagi ini.

Hadir sama ADUN Bayan Lepas, Azrul Mahathir Aziz, Zolkifly Md. Lazim (ADUN Telok Bahang) dan wakil Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinan (JPNPP).

Bagi DTL, pemberian biasiswa melibatkan 97 orang pelajar dari 23 buah sekolah dengan perbelanjaan sebanyak RM66,840 dan DBD, seramai 80 orang dari 11 buah sekolah (RM53, 040).

Sementara itu, bagi N. SHANTI, 53, Guru Kaunselor di Methodist Boy School (MBS) menyambut baik khabar gembira yang disampaikan apabila ada peningkatan pemberiaan biasiswa yang diberikan pihak Kerajaan Negeri.

Katanya, peningkatan jumlah wang pemberian (biasiswa) itu sememangnya wajar memandangkan masih ramai lagi pelajar di sekolah yang memerlukan bantuan.

Yang dapat hanya segelintir, masih ramai lagi di sana (sekolah) yang memerlukan bantuan, peningkatan ini amat dialu-alukan.

Sebenarnya, kita tidak boleh mengharapkan pihak Kerajaan Negeri semata-mata, sebaik-baiknya seperti MBS ada ramai bekas pelajar yang cemerlang harus kembali ke sekolah untuk membantu,” ujarnya sambil menasihatkan para penerima biasiswa berkenaan menggunakan wang tersebut sebaik-baiknya untuk kegunaan persekolahan bukan sebaliknya untuk menampung permasalahan keluarga.

Penerima lain, Muhammad Syazwan Masuri, 15, dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato Hj. Mohd. Noor Ahmad yang ditemani ibunya AZIZAH ABD. GHANI, 52, dari Gelugor ternyata sebak dengan pemberian berkenaan.

Azizah yang ditemui wakil Buletin Mutiara ternyata bergenang air mata ketika ditanya berhubung perasaan beliau selepas anaknya menerima biasiswa berkenaan pagi ini.

Syukur alhamdulillah, bolehlah saya gunakan untuk persekolahan dia (Muhammad Syazwan) tahun hadapan memandangkan kewangan kami yang agak terbatas disebabkan suami baru menjalani operation di kepala dan tidak bekerja dan saya sendiri pun masih menerima rawatan,” ujarnya yang merupakan seorang suri rumah.