Kerajaan Negeri peruntuk RM2.86 juta sambung perkhidmatan pemeriksaan mamogram percuma kepada wanita Pulau Pinang

Admin
DR. Afif Bahardin dalam sidang media pagi ini.

GEORGE TOWN – Wanita yang berusia 35 tahun ke atas dipelawa untuk mendapatkan pemeriksaan mamogram secara percuma dengan melakukan pendaftaran di Pusat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) setempat.

 

Seruan tersebut disuarakan Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan, Dr. Afif Bahardin dalam satu sidang media di sini hari ini.

 

Jelasnya, program yang terhenti tahun lalu setelah tamat kontrak kini disambung semula sejak 18 Februari lalu.

 

“Kali ini kita (Kerajaan Negeri) laksanakan dengan kerjasama Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) melibatkan peruntukan RM2.86 juta seperti dalam bajet yang diumumkan oleh Ketua Menteri.

 

“Selain itu, boleh juga kunjungi Klinik Nur Sejahtera yang dikelola oleh LPPKN untuk mendapatkan perkhidmatan mamogram ini,” ujarnya yang juga ADUN Seberang Jaya.

 

Dalam sidang media sama, Afif turut mengajak orang ramai untuk muat naik aplikasi Predict and Beat Dengue bagi mengetahui kawasan hot spot yang mempunyai wabak denggi.

 

“Melalui aplikasi tesebut, orang ramai boleh mengenal pasti kawasan yang terlibat dengan wabak denggi serta boleh juga melaporkan kes denggi di lokaliti masing-masing.

 

“Selain kerja-kerja pembersihan yang giat dilakukan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT), masyarakat tetap perlu mainkan peranan penting memusnahkan semua tempat pembiakan nyamuk aedes di kawasan rumah masing-masing,” tegasnya lagi.

 

Difahamkan untuk minggu ketujuh bagi tahun 2019, Pulau Pinang sudah mencatatkan lima kematian akibat wabak tersebut.

 

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : DARWINA MOHD. DAUD