Kerajaan Negeri peruntuk RM2 juta tampung kos operasi PPV

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah meluluskan peruntukan berjumlah RM2 juta bagi menampung kos-kos pengoperasian Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di negeri ini.

Exco Agroteknologi & Keselamatan Makanan, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan, Dr. Norlela Ariffin berkata bahawa jumlah tersebut adalah bagi membiayai kos pengoperasian yang tidak dapat ditampung di bawah perbelanjaan peruntukan Kerajaan Persekutuan.

“Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) telah meluluskan siling peruntukan sebanyak RM25.1 juta kepada Kerajaan Negeri Pulau Pinang untuk perbelanjaan pengoperasian PPV yang disalurkan secara berfasa.

“Daripada jumlah itu, sebanyak RM7.71 juta telah disalurkan pada 16 April 2021 bagi Fasa 1 dan Kerajaan Negeri dijangka akan menerima tambahan peruntukan sebanyak RM7.8 juta bagi fasa kedua dalam tempoh terdekat.

“Walau bagaimanapun, sekiranya siling yang ditetapkan tidak mencukupi untuk menampung perlenjaan PPV, maka peruntukan tambahan akan turut dipertimbangkan.

“Justeru, bagi memastikan pengoperasian PPV berjalan lancar, Kerajaan Negeri juga telah meluluskan peruntukan berjumlah RM2 juta untuk membantu menampung kos-kos tersebut,” katanya dalam sesi soalan lisan pada Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang Ke-14 dekat Dewan Undangan Negeri di sini pagi tadi.

Dalam isu berkaitan, Norlela memaklumkan bahawa pihak Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF) Kebangsaan telah meluluskan permohonan Pulau Pinang untuk mendapatkan sumbangan bagi penambahan bekalan vaksin di negeri ini.

“Disebabkan Pulau Pinang mengalami kelewatan menerima bekalan vaksin bagi bulan Ogos, Kerajaan Negeri telah menerima sumbangan sebanyak 20,000 bernilai RM3 juta daripada kerajaan negeri Selangor pada 30 Ogos 2021.

“(Dan) berdasarkan surat daripada Ketua Setiausaha Negara (KSU) pada 31 Ogos 2021 yang menyatakan bahawa Kerajaan Pusat akan memulangkan semula vaksin yang telah dipinjam daripada kerajaan negeri Selangor.

“Kerajaan Negeri juga telah menerima tawaran Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) secara verbal untuk memberi vaksin yang diperlukan lebih awal supaya kita mendapat tambahan vaksin secepat mungkin,” ujarnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penanti.

Tambah beliau lagi, Kerajaan Negeri juga bakal menerima sebanyak 140,000 dos vaksin Pfizer BioNTech pada 3 September ini dan hampir 200,000 dos lagi pada 10 September serta telah mendapat kelulusan tambahan sebanyak 200,000 vaksin di bawah Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).

Dengan vaksin yang diperolehi ini, insyaAllah kita dapat menyuntik 100 peratus dos pertama bagi populasi dewasa bagi di negeri ini menjelang pertengahan Septemnber ini,” jelas beliau lagi.

Oleh : SUNARTI YUSOFF

Gambar : DARWINA MOHD. DAUD