GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri memperuntukkan geran berjumlah RM300,000 kepada badan-badan koperasi di negeri ini sebagai galakan bagi merangsang semula ekonomi ekoran kesan pandemik COVID-19 yang masih terasa.
Menurut Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Ir. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman, geran tersebut menumpukan kepada koperasi-koperasi kecil berikutan impak yang lebih ketara.
“Jadi dengan sumbangan ini sedikit sebanyak kita harap pergerakan koperasi kecil ini dapat memainkan peranan meningkatkan kembali urusan perniagaan melalui koperasi.
“Apabila koperasi-koperasi ini hidup, maka limpahan ekonomi akan lebih menyeluruh dan membantu sektor-sektor lain kerana apabila transaksi perniagaan berlaku, ia akan lebih melibatkan banyak pihak,” ujar beliau pada Program Pemantapan Gerakan Koperasi Negeri Pulau Pinang di sini semalam.
Hadir sama, Pengarah Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Pulau Pinang, Norlelah Samsudin.
Dalam pada itu Ahmad Zakiyuddin berkata, Kerajaan Negeri juga menyarankan koperasi untuk beralih dari pasaran domestik kepada pasaran global dan memanfaatkan gerakan koperasi dalam pembangunan usahawan.
“Langkah ini penting untuk meningkatkan daya saing serta ekosistem perniagaan, sekali gus meningkatkan sumbangan gerakan koperasi kepada ekonomi.
“Kerajaan Negeri juga tidak ketinggalan memainkan peranan dalam memastikan rakyat mengecapi nikmat kemakmuran menerusi koperasi, kerana yakin bahawa ia adalah satu pendekatan yang efektif bagi merangsang pembangunan keusahawanan dalam kalangan masyarakat.
“Tidak ketinggalan kita mahu menggalakkan penyertaan koperasi pada peringkat sekolah agar memberi rangsangan terutamanya kepada pelajar untuk terus menyertai koperasi pada masa hadapan,” katanya lagi yang juga Exco Hal Ehwal Agama, Koperasi dan Pemerkasaan Komuniti.
Difahamkan transaksi koperasi di Pulau Pinang telah meningkat kepada RM283 juta tahun lalu berbanding RM261 juta tahun sebelumnya.
Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI
Gambar : DARWINA MOHD. DAUD