Kerajaan Negeri PR Pulau Pinang tidak rasis

Admin

Oleh: MOHD. HAFIZ TAJUDIN

MANSOR Othman (depan, dua dari kiri) menyampaikan hadiah kepada salah seorang pemenang bersempena Majlis Sambutan Maulidur Rasul anjuran JKKK Sungai Gelugor dengan kerjasama ADUN Seri Delima di sini baru-baru ini.
MANSOR Othman (depan, dua dari kiri) menyampaikan hadiah kepada salah seorang
pemenang bersempena Majlis Sambutan Maulidur Rasul anjuran JKKK Sungai Gelugor dengan kerjasama ADUN Seri Delima di sini baru-baru ini.

SERI DELIMA – Tanpa mengira bangsa dan agama! Walaupun Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Delima adalah berketurunan Hindu, faktor tersebut tidak pernah menghalang beliau serta Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) kawasannya menganjurkan Majlis Sambutan Maulidur Rasul di sini baru-baru ini.

ADUN Seri Delima, R.S.N. Rayer dalam ucapannya menegaskan bahawa, walaupun beliau adalah wakil rakyat berbangsa India dan beragama Hindu, galakan dan saluran peruntukan turut diberikan kepada masyarakat Islam di Sungai Gelugor untuk mengadakan Sambutan Maulidur Rasul dan majlis-majlis keagamaan lain dari semasa ke semasa.

“Selagi Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat ada (memerintah), majlis seperti ini (majlis kebesaran agama Islam) akan kita (Kerajaan Negeri) teruskan.

“Sebagai tambahan, kita (Kerajaan Negeri) juga akan pastikan halaman dewan ini bertar supaya lebih selesa dan tidak lecah pada masa akan datang”, ucap beliau pada majlis berkenaan di sini baru-baru ini.

Turut hadir, Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Mansor Othman dan Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Abdul Malik Abul Kassim.

Majlis anjuran JKKK Sungai Gelugor dengan kerjasama ADUN Seri Delima itu turut diserikan dengan penyampaian Anugerah Tokoh Maulidur Rasul Peringkat JKKK Sungai Gelugor yang dimenangi Wan Salim Mohd. Noor, alunan nasyid dan selawat serta tazkirah (peringatan) ringkas.

Dalam pada itu, menurut Abdul Malik, Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat sentiasa menyokong semangat toleransi dan memupuk masyarakat hidup serumpun.

“Kita umat Islam perlu meneladani, memperingati dan mempraktikkan sunnah baginda Rasulullah S. A. W. termasuklah akhlak baginda.

“Baginda Rasulullah S. A. W. sangat bersopan-santun dan tidak pernah membeza-bezakan sahabat baginda yang datang dari pelbagai suku kaum termasuklah Bilal bin Rabah dari kalangan Habsyi yang berkulit gelap dan Salman Al-Farisi yang datang dari wilayah Parsi ketika itu,’’ ujar beliau.