PADANG KOTA – Kerajaan Negeri Pulau Pinang bertindak secara proaktif dalam mengatasi lambakan import plastik kitar semula yang kini menjadi isu di peringkat nasional.
Exco Alam Sekitar dan Kebajikan, Phee Boon Poh berkata bahawa meskipun isu melibatkan plastik kitar semula diurus tadbir oleh Kerajaan Persekutuan melalui
Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) serta Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA), namun Kerajaan Negeri Pulau Pinang tidak hanya berpeluk tubuh.
Jelasnya, Kerajaan Negeri sedar bahawa kawalan di pelabuhan sahaja tidak memadai untuk mengekang import plastik kitar semula ke Pulau Pinang.
“Sehubungan itu, Kerajaan Negeri telah mengusulkan beberapa pertimbangan kepada pihak KPKT antaranya agar (Kerajaan Negeri) diberi peluang untuk memberikan ulasan bagi setiap permohonan AP HS Kod 39.15 yang dibawa masuk melalui Pulau Pinang sebelum kelulusan akhir AP diberikan oleh KPKT kepada pengimport/pengilang dan beberapa usul lain, namun ia masih belum mendapat sebarang maklum balas berhubungnya.
“Walau bagaimanapun, kita akan pastikan perkara-perkara yang telah diusulkan tersebut dapat dilaksanakan di peringkat negeri melalui pihak berkuasa tempatan (PBT),” ujar beliau ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan dan Usul Anggaran Pembangunan Tahun 2021 pada Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang Keempat Belas baru-baru ini.
Mengikut rekod bagi tempoh 1 Ogos 2019 sehingga 31 Ogos 2020, jumlah plastik yang diimport melalui Pelabuhan North Butterworth Container Terminal (NBCT) P14 adalah sebanyak 153,441.26 tan metrik melibatkan 22 kilang yang mempunyai permit import sisa plastik H.S.Kod 39.15.
Difahamkan, daripada jumlah tersebut, 13 kilang adalah dari Pulau Pinang dengan jumlah import plastik berjumlah 96,136.93 tan metrik dan selebihnya (9) kilang luar dari Pulau Pinang (58,304.33 tan metrik).
Justeru, Boon Poh memaklumkan bahawa tindakan proaktif bersama KPKT dan KASA penting untuk pastikan sisa plastik import yang tidak mematuhi piawaian ditetapkan dihantar pulang ke negara asal mengikut Basel Convention.
“Manakala, kilang-kilang plastik yang beroperasi di Pulau Pinang perlu mematuhi sepenuhnya Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974,” tambah beliau.
Menurutnya, sehingga kini pihak Jabatan Alam Sekitar (JAS) telah menyelaras tindakan menghantar balik 116 unit kontena sisa plastik yang tidak mematuhi syarat.
“Terbaharu terdapat 129 kontena yang ditahan di NBCT hasil operasi bersepadu melibatkan Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara (JPSPN), KASTAM dan JAS, ia akan diserahkan kepada JAS bagi tujuan penghantaran pulang ke negara asal,” jelas beliau.
Oleh: NORSHAHIDA YUSOFF
Gambar : DARWINA MOHD. DAUD