SEBERANG JAYA – Kerajaan Negeri memuji inisiatif yang diambil oleh pihak pengurusan Pelita Samudra (M) Sdn. Bhd. (Pelita) di seluruh negara untuk menghentikan penjualan rokok di semua kaunter rangkaian nasi kandar miliknya menjelang hujung tahun ini.
Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan, Dr. Afif Bahardin berkata, langkah tersebut patut dicontohi oleh semua pengusaha makanan di negara ini sebagai usaha menyokong inisiatif bebas rokok yang dilaksanakan kerajaan baru-baru ini.
“Kerajaan Negeri ingin mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada pihak Pelita kerana mengumumkan untuk menghentikan penjualan rokok di semua premis makanan milik Pelita di seluruh negara selepas tamat kontraknya nanti.
“Saya juga difahamkan Pelita adalah pihak pertama yang mengambil inisiatif permulaan ini dan berharap agar pihak Jabatan Kesihatan Negeri dapat menganugerahkan ‘blue ribbon’ atau pengiktirafan atas komitmen yang ditunjukkan ini.
“Oleh itu, adalah lebih baik sekiranya lebih banyak pihak swasta mengambil pendekatan sama bukan hanya dalam soal penjualan tembakau tetapi yang lebih penting adalah larangan merokok,” katanya pada sidang media sempena siri kempen pelaksanaan larangan merokok di restoran dan tempat awam di kawasan Seberang Perai, di sini semalam.
Turut serta, Pengarah Eksekutif Pelita, Datuk Uswath Khan; Pengerusi Hotel The Light, Azhar Mohamad serta 30 kakitangan daripada Pejabat Kesihatan Daerah dan Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang.
Difahamkan, sebanyak 1,278 daripada 1,604 premis makanan yang dilawati di Seberang Perai masih tidak mempunyai tanda larangan merokok dan pada siri kempen berkenaan di sini, seramai tujuh perokok turut diberikan notis amaran.
Menjawab soalan pemberita berhubung status tempat ibadat sebagai kawasan larangan merokok, Afif menegaskan bahawa rumah-rumah ibadat di Pulau Pinang sememangnya diwartakan sebagai kawasan larangan merokok.
“Di Pulau Pinang kita (Kerajaan Negeri) sudah memasukkan semua rumah ibadat seperti masjid, tokong, kuil, gereja, gurdwara dan lain-lain tetapi pada akhirnya ia akan kembali kepada penguatkuasaan dan pentadbiran rumah-rumah ibadat berkenaan,” ujarnya lagi.
Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD