Kerajaan Negeri Pulau Pinang terima penyerahan Fasa 1 dan Fasa 2 Empangan Mengkuang

Admin

PENANTI – Kerajaan Negeri Pulau Pinang hari ini secara rasminya mengambil alih semula pengendalian operasi dan penyelenggaraan Empangan Mengkuang yang diperbesarkan daripada Kerajaan Persekutuan.

Majlis penyerahan disempurnakan oleh Timbalan Ketua Setiausaha Air dan Pembetungan Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA), Azizah Ariffin yang mewakili Menterinya, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man kepada Exco Infrastruktur dan Pengangkutan, Zairil Khir Johari.

Zairil berkata, setakat ini Kerajaan Negeri menerima penyerahan bagi Fasa 1 dan Fasa 2A iaitu melibatkan pembinaan empangan dan penaiktarafan Rumah Pam Mak Sulong yang kini telah pun selesai sepenuhnya.

Zairil Khir Johari dan Azizah Ariffin diberi taklimat berkaitan projek pembesaran Empangan Mengkuang pada majlis penyerahan bagi Fasa 1 dan Fasa 2A di sini sebenta tadi.

Menurut beliau, baki dua fasa lagi iaitu Fasa 2B dan 2C adalah amat penting serta kritikal bagi Kerajaan Negeri untuk membolehkan penyaluran lebih banyak air mentah dari Empangan Mengkuang ke Loji Rawatan Air Sungai Dua ketika musim kemarau.

“Kerajaan Negeri amat berbesar hati untuk menerima dan menggalas tanggungjawab baharu ini demi kesinambungan dan kelangsungan bekalan air khususnya kepada rakyat di Pulau Pinang.

“Justeru, Kerajaan Negeri berharap baki komponen projek Empangan Mengkuang yang masing-masing di peringkat akhir pengambilan tanah serta dokumen tender di peringkat kajian semula dapat disiapkan secepat mungkin.

‘Hal ini penting dalam memastikan jaminan keselamatan bekalan air Pulau Pinang secara menyeluruh,” katanya semasa berucap pada majlis berkaitan dekat sini pagi tadi.

Hadir sama, Exco Agroteknologi & Keselamatan Makanan, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan, Dr. Norlela Ariffin; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Abdul Razak Jaafar; Penasihat Undang-undang Negeri, Dato’ Norazmi Mohd. Narawi serta Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim Chee Keong.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP), Dato’ Ir. Jaseni Maidinsa; Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seberang Perai, Dato’ Sr. Rozali Mahmod serta Pengarah Bahagian Bekalan Air Kementerian Alam Sekitar dan Air, Ir. Rahmat Abdul Rahman juga turut hadir.

Zairil memberitahu bahawa Empangan Mengkuang dengan saiz baharu telah meningkatkan kapasiti bekalan air daripada 22 juta meter padu kepada 73.5 juta meter padu.

Gambaran keseluruhan projek pembesaran Empangan Mengkuang.

“Ini secara langsung akan meningkatkan kapasiti penyeluran bekalan air mentah dari Empangan Mengkuang ke Loji Rawatan Air Sungai Dua daripada 300 juta liter sehari kepada 600 liter juta sehari.

“Dengan ini, rizab sumber air di Empangan Mengkuang meningkat daripada 37 hari kepada 122 hari dengan kadar pelepasan air sebanyak 600 juta liter sehari.

Dalam pada itu, Jaseni mengklasifikasikan Empangan Mengkuang sebagai empangan strategik untuk meningkatkan margin simpanan bekalan air mentah bagi kegunaan pada musim kemarau.

“Dengan penyerahan empangan ini kita ada takungan yang besar dan air dari sini boleh dibekalkan kepada Loji Rawatan Air Sungai Dua yang boleh membekalkan lebih daripada 80 peratus permintaan air di negeri ini.

“Paling penting adalah bekalan air kepada kawasan perindustrian bebas dekat Bayan Lepas dan Bukit Minyak yang merupakan penyumbang utama kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negeri Pulau Pinang,” jelasnya.

Tambah Jaseni, Empangan Mengkuang juga menjadi penyelamat sekiranya berlaku pencemaran air di Sungai Muda yang merupakan sumber air utama negeri Pulau Pinang.

“Sekiranya keadaan ini berlaku, kita akan lepaskan air dan Loji Sungai Dua akan rawat dan kita kekalkan pembekalan seperti biasa sehingga masalah tersebut selesai,” ujarnya.

Ir. Jaseni Maidinsa.

Menjawab soalan pemberita, Jaseni memberitahu bahawa kadar Air Tidak Terhasil (NRW) di Pulau Pinang setakat ini adalah kira-kira 22.7 peratus iaitu antara yang terendah di negara ini.

“Kita tidak boleh turunkan lagi kerana air harga air kita (Pulau Pinang) terlalu murah, jadi sekiranya kita hendak belanja lebih banyak wang untuk turunkan NRW adalah tidak logikal kerana kosnya adalah lebih tinggi berbanding tarif air sekarang,” ujarnya.

Dalam pada itu, Azizah dalam ucapan sebelum itu menyatakan bahawa projek pembesaran Empangan Mengkuang adalah komitmen Kerajaan Persekutuan untuk memastikan jaminan bekalan sumber air mentah sentiasa mencukupi bagi memenuhi sektor domestik dan komersial di negeri ini.

“Secara keseluruhannya, projek ini dapat meningkatkan kadar rizab margin air terawat di Pulau Pinang ke paras yang lebih selesa.

“Keadaan ini adalah penting bagi mengurangkan risiko gangguan bekalan air kepada pengguna sekiranya operasi loji rawatan air terpaksa dihenti tugas akibat pencemaran sumber air atau ketidakcukupan sumber air akibat kemarau dan cuaca kering,” ujarnya ketika membacakan teks ucapan Menteri berkaitan.

Mengulas lanjut, beliau menyatakan bahawa pada tahun 2019, Pulau Pinang merekodkan kadar rizab margin air terawat sebanyak 32 peratus iaitu lebih tinggi pada paras maksimum 15 peratus yang ditetapkan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN).

“Projek ini juga menyediakan sumber air alternative kepada lebih 80 peratus penduduk Pulau Pinang yang sekarang ini bergantung kepada Sungai Muda.

“Malah, projek ini sudahpun membekalkan sumber air kepada PBAPP yang mana sehingga kini dimaklumkan sebanyak 6.9 juta meter padu air mentah telah dilepaskan bagi menampung keperluan air penduduk di negeri ini,” ulansya.

Difahamkan, projek pembesaran Empangan Mengkuang dimulakan sejak 1 Ogos 2011 dan siap pada 10 April 2017.

Ia merupakan projek pembesaran sedia ada dengan meninggikan sebanyak 11 meter di sebelah kanan empangan dan membina empangan baru dengan ketinggian 55 meter dan 2 kilometer panjang di sebelah kiri empangan sedia ada.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD
Video : DARWINA MOHD. DAUD