Kerajaan Negeri Pulau Pinang tunai 92.4 peratus janji manifesto 2018

Admin

GEORGE TOWN – Sebanyak 61 manifesto Kerajaan Negeri Pakatan Harapan Pulau Pinang pada Manifesto 2018 telah berjaya ditepati dengan pencapaian 92.4 peratus sehingga Jun 2023.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata, antara tunjang pencapaian utama adalah pada aspek infrastruktur yang mana komponen di bawah Projek Jalan-Jalan Utama dan Laluan Ketiga giat direalisasikan.

“Selain itu, bagi projek transit aliran ringan (LRT) yang sekian lama dinanti-nantikan, Kerajaan Persekutuan telah bersetuju untuk membiayai 100 peratus pembinaannya, malah jajarannya kini turut diperluaskan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (PIA) ke Tanjung Bunga.

“Dalam memperbanyakkan lagi penyediaan pusat rekreasi kepada rakyat di negeri ini, ikon terbaru Gurney Bay juga giat dibangunkan di sepanjang Persiaran Gurney.

“Tidak terkecuali usaha dalam memodenkan pengurusan sisa pepejal menerusi Kajian Roadmap Pengurusan Sisa Pepejal Negeri Pulau Pinang 2050 yang bakal menyediakan pelan pengurusan menyeluruh dan holistik.

“(Begitu juga) desentralisasi kuasa kepada Kerajaan Negeri yang telah diperjuangkan sejak sekian lama telah memperlihatkan penubuhan Jawatankuasa Pilihan Mengenai Perhubungan Negeri dan Persekutuan pada 24 November 2022.

“(Dan) berani saya katakan bahawa tiada sebuah pun lain-lain Kerajaan Negeri yang menjalankan pemantauan sebagaimana kita di Pulau Pinang laksanakan, sebagaimana kita janjikan terhadap amanat yang diamanahkan, kita tidak sesekali mensia-siakan setiap undi yang diberikan kepada kita,” ujarnya pada majlis perutusan khas YAB Ketua Menteri sempena pembubaran DUN Pulau Pinang Ke-14 di Komtar pada 27 Jun 2023.

Hadir sama, Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Ir. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman; Timbalan Ketua Menteri II, Prof. Dr. P. Ramasamy; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mohd. Sayuthi Bakar; barisan Exco; Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri; Ahli Parlimen serta Ketua-Ketua Jabatan berkaitan.

Menurut Kon Yeow, sekiranya diberi mandat dan peluang untuk terus mentadbir Pulau Pinang dalam tempoh lima tahun akan datang, keutamaan akan diberikan dalam menghadapi cabaran menjelang tahun 2030.

“Hal ini termasuk penjanaan ekonomi dan mencipta peluang pekerjaan dalam sektor elektrik dan elektronik (E&E), Integrated Circuit (IC) Design, teknologi perubatan, Digital District dan ekonomi baharu.

“Selain itu, menjadikan Penang Strategy for Economic Ecosystem Development atau ‘Penang SEED’ sebagai panduan dalam perancangan pembangunan ekonomi yang dinamik, saksama dengan prospek kerjaya berkualiti dan sejahtera selaras dengan Visi Penang2030.

“Menerusi ‘Penang SEED, trajektori pertumbuhan semasa dijangka sebanyak 3.5 peratus dikekalkan sehingga tahun 2028 dan menjangkakan pencapaian pertumbuhan tahunan sehingga 5.8 peratus dengan pasaran kerja dianggarkan berkembang sebanyak 1.4 peratus pada tempoh sama,” jelasnya yang juga Exco Pembangunan Ekonomi.

Turut diberi tumpuan, kata Kon Yeow adalah pelaksanaan Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang; merealisasikan projek Penang South Island (PSI); pembinaan lebuh raya bertingkat Juru – Sungai Dua; melaksanakan projek tebatan banjir, rendah karbon, perubahan iklim dan kemudahan kenderaan elektrik; melaksanakan Pelan Kontigensi Air 2030 serta memperkasakan rakyat.

 

PIMPINAN Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang hadir pada majlis berkaitan.

 

Pada majlis sama, Kon Yeow turut berkongsi laporan terkini Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) berhubung pertumbuhan ekonomi yang mana Pulau Pinang berada pada tangga nombor satu di Malaysia.

“Pertumbuhan direkodkan sebanyak 13.1 peratus pada tahun 2022 berbanding 6.9 peratus pada tahun sebelumnya dengan nilai Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) berjumlah RM112.1 bilion pada harga malar.

“Malah, berdasarkan laporan tersebut, empat negeri iaitu Pulau Pinang (13.1 peratus); Selangor (11.9); Pahang (10.8) dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (9.2) telah merekodkan pertumbuhan melebihi pertumbuhan nasional.

“Pulau Pinang juga pada 2022 kekal sebagai pengeksport utama negeri dengan sumbangan 30.8 peratus dan mencatatkan jumlah dagangan tertinggi sebanyak RM72.4 bilion (September 2022) daripada jumlah dagangan Malaysia (RM256.9 bilion).

“Jadi, siapa kata kita (Kerajaan Negeri) tidak melakar sebarang pencapaian? Siapa kritik yang kita ini ‘slow’? terbukti dengan suntikan kejayaan-kejayaan tersebut, kita bersama-sama mampu membawa Pulau Pinang untuk kekal masyhur dan gemilang di mata dunia.

“(Dan) apa yang pasti, kita akan terus lakukannya bersama-sama sekali lagi, buktikan bahawa kita boleh dan sentiasa teguh bersama,” katanya penuh semangat serta berbangga dengan gelaran Pulau Pinang sebagai antara ‘jaguh pelaburan negara’ kerana berjaya merekodkan pelaburan RM200 bilion sejak 2008.

 

CHOW Kon Yeow pada majlis perutusan khas di sini.

 

Terdahulu, Kon Yeow menyorot kembali perjalanan pentadbiran Kerajaan Negeri Pakatan Harapan Pulau Pinang sejak lima tahun lalu.

“Sebagaimana dikongsikan pada 9 Jun lalu, pencapaian Visi Penang2030 adalah sebanyak 47 peratus dengan 210 projek dan program di bawah inisiatif strategik telah dilaksanakan.

“Selain itu, secara peribadi, saya merasakan tempoh semasa pandemik COVID-19 diibaratkan sebagai cabaran getir buat seluruh jentera pentadbiran Kerajaan Negeri Pulau Pinang.

“(Dan) sebagai tindak balas kepada fasa pemulihan pandemik, kita melancarkan kempen LovePENANG yang mana ia telah menyemarakkan lagi semangat seluruh rakyat di negeri ini untuk terus utuh sebagai sebuah pasukan yang teguh, harmoni dan sayangkan perpaduan.

“Malah, slogan itulah yang akan terus disemarakkan dalam kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti,” jelasnya.

Usai menyampaikan perutusan, Yang Dipertua DUN Pulau Pinang, Dato’ Law Choo Kiang, yang turut serta dalam majlis berkenaan, mengumumkan perkenan proklamasi pengisytiharan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang daripada Yang Di-Pertua Negeri (TYT), Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak.

Berdasarkan pengumuman yang dibuat, Choo Kiang memaklumkan bahawa keanggotaan sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan elaun-elaun serta keistimewaan yang diterima oleh ADUN sebagaimana diperuntukkan di bawah Enakmen Anggota Pentadbiran dan Ahli Dewan Undangan Negeri (saraan) 1980 akan terhenti mulai 28 Jun 2023 selaras dengan Fasal (2) Perkara 19 Perlembagaan Negeri Pulau Pinang.

“YAB Ketua Menteri dan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan akan terus berkhidmat sebagai ‘Kerajaan Caretaker’ sehingga Kerajaan Negeri yang baharu dibentuk selaras dengan Perkara 7(2) Perlembagaan Negeri Pulau Pinang.

“Manakala Yang Dipertua DUN akan terus berkhidmat sehingga pelantikan baharu oleh Dewan dibuat,” umumnya.

Bermula esok, 28 Jun 2023, pentadbiran Kerajaan Negeri Pulau Pinang akan dijalankan oleh ‘caretaker government’ (kerajaan ad hoc sementara) yang mana segala fungsi kerajaan berjalan seperti biasa sehingga Kerajaan Negeri baharu dibentuk selepas PRN nanti.

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD