Kerajaan Negeri rancang potong bekalan air dan elektrik di kilang buang sampah haram

BUKIT TENGAH – Kerajaan Negeri Pulau Pinang merangcang untuk memotong bekalan air dan elektrik di kilang-kilang yang didapati melakukan pembuangan sampah secara haram.

Mengulas lanjut, Exco Kebajikan dan Alam Sekitar, Phee Boon Poh memberitahu bahawa usul mengenai cadangan tersebut akan dibentangkan pada mesyuarat Exco yang akan datang.

“Kita akan menjalankan operasi ini bersama-sama dengan Tenaga Nasional Berhad (TNB) serta Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP).

Phee Boon Poh dan barisan kepimpinan Kumpulan Barkath menunjukkan kek buah yang merupakan produk keluaran terbaru.

“Justeru, Kerajaan Negeri perlu mendapatkan persetujuan mengenai perkara ini terlebih dahulu sebelum kita dapat mengambil apa-apa tindakan,” katanya kepada kepada Buletin Mutiara ketika merasmikan majlis Sambutan Ulang Tahun ke-80 Kumpulan Barkath pada 9 Oktober 2020.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas mengenai isu pembuangan sampah dan pembakaran secara tidak sah dekat Machang Bubuk yang telah mengundang aduan penduduk kerana dipercayai mengakibatkan bau busuk di kawasan berkaitan.

Mengulas lanjut, Boon Poh memberitahu bahawa Kerajaan Negeri telah mengenal pasti lebih 10 buah kilang yang terlibat dalam aktiviti pembuangan sampah dan pembakaran haram.

“Kebanyakan kilang yang terlibat adalah kilang kitar semula yang mana kilang-kilang ini sudah diberikan notis untuk memberhentikan operasi selain diberikan amaran tegas tetapi tidak berhasil,” jelasnya.

Terdahulu, Boon Poh turut merasmikan pelancaran kek buah yang merupakan produk keluaran terbaru Kumpulan Barkath.

Pada majlis sama juga, Sunquick yang merupakan salah satu jenama utama Kumpulan Barkath, telah menyumbangkan sebanyak RM127,866 kepada Yayasan OrphanCare.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Seri Barkath Ali Abu Backer berkata kempen pengumpulan dana juga diadakan sempena ulang tahun ke-80 syarikat tersebut.

“Ini juga merupakan salah satu sumbangan terbesar yang diterima oleh Yayasan OrphanCare,” katanya lagi.

Phee Boon Poh.

Selain majlis penyerahan sumbangan, turut berlangsung adalah upacara menandatangani memorandum persefahaman (MoU) di antara Kumpulan Barkath dan Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (UniSHAMS) yang terletak di Kedah.

Dalam pada itu, Barkath Ali berkata, MoU tersebut adalah usahasama untuk bertukar-tukar pengetahuan dan kemahiran di antara kedua-dua pihak.

“Di bawah MoU ini, kami akan menerima pelajar UniSHAMS untuk mengambil bahagian dalam program di kilang kami dan pada masa yang sama, kakitangan kami juga akan dihantar ke institusi mereka untuk penyelidikan dan pembangunan,” tambahnya.

MoU itu ditandatangani oleh Barkath Ali untuk Kumpulan Barkath sementara UniSHAMS diwakili oleh Timbalan Naib Canselornya, Mohd Zaini Ramli.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS