Kerajaan Negeri rangka strategi pastikan Pulau Pinang kekal hab semikonduktor

Admin
whatsapp image 2024 05 27 at 10.57.05

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri akan terus berusaha bagi memastikan Pulau Pinang kekal kompetitif dalam pembangunan semikonduktor pada peringkat tempatan mahupun antarabangsa.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa tujuh strategi telah dirangka dalam menjadikan Pulau Pinang sebagai hab global bagi industri berteknologi tinggi di samping mengembangkan aktiviti elektrik dan elektronik (E&E) serta semikonduktor sedia ada.

“Kerajaan Negeri memberikan fokus dalam membangunkan rantaian bekalan untuk peralatan pembuatan bahagian hadapan dan menggalakkan penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta reka bentuk dan pembangunan (D&D).

“Selain itu, Kerajaan Negeri turut memastikan Pulau Pinang mencapai sasaran untuk menjadi negeri berorientasikan ESG (alam sekitar, sosial dan tadbir urus) dengan menggalakkan pelabur mengamalkan konsep hijau bagi pembinaan kilang baru atau menaik taraf kilang sedia ada.

“Malah, taman-taman perindustrian baru bertaraf antarabangsa turut dibina seperti Taman Teknologi Bandar Cassia, Taman Perindustrian Batu Kawan III dan Penang Science Park Selatan yang bakal menambah jumlah kawasan perindustrian melebihi 800 ekar,” katanya semasa menjawab soalan lisan dalam Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Ke-15 dekat bagunan Dewan Undangan Negeri di sini sebentar tadi.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machang Bubok, Lee Khai Loon.

Mengulas lanjut, Kon Yeow yang juga Exco Kewangan, Pembangunan Tanah & Ekonomi dan Komunikasi menyatakan bahawa Kerajaan Negeri juga akan memastikan kemudahan untuk menjalankan perniagaan di Pulau Pinang akan kekal kompetitif.

“Ini termasuk membantu para pelabur mencari lokasi pilihan, lokasi pilihan bagi memulakan operasi dan menjadi pemudah cara antara pelabur dengan agensi Persekutuan serta Negeri dalam pelbagai aspek,” katanya.

Tambah Kon Yeow, Taman Reka Bentuk Litar Bersepadu (IC) dan Digital seluas 42.5 hektar di Taman Perindustrian Bayan Lepas turut akan dibina yang menawarkan sejuta kaki persegi ruang pejabat premium untuk menampatkan projek berimpak tinggi.

“Kerajaan Negeri turut menyediakan perancangan strategik untuk menarik bakat baharu serta mengekalkan bakat sedia ada dengan menawarkan pelbagai insentif seperti Future Foundation Scholarship, Penang GBS Industry Academy dan sebagainya.

“Di samping itu, Kerajaan Negeri giat mempromosikan Pulau Pinang ke luar negara dengan mengadakan pertemuan dan perbincangan dengan pelabur-pelabur berpotensi terutamanya Amerika Syarikat, Taiwan, Singapura dan Eropah,” ulasnya yang juga ADUN Padang Kota.

Menjawab soalan mengenai punca pemilihan Selangor oleh para pelabur IC design, Kon Yeow memberitahu bahawa ia adalah berdasarkan insentif yang ditawarkan melalui Malaysia Semiconductor Accelerator and IC Design Park (Selangor Hub).

“Insentif tersebut diterajui oleh Kerajaan Negeri Selangor menerusi Perbadanan Teknologi Maklumat Ekonomi Digital Selangor (SIDEC) dengan kerjasama Kerajaan Persekutuan.

“Kerajaan Negeri Selangor dikatakan telah menerima geran sebanyak RM60 juta daripada Kerajaan Persekutuan dan telah berjaya menarik modal teroka global untuk bekerjasama dengan mereka bagi menawarkan dana khas di bawah inisiatif ini.

“Kerajaan Negeri Selangor juga dikatakan telah menyalurkan RM65 juta kepada SIDEC bagi menguruskan Taman Perindustrian IC Design di Selangor,” jelasnya lagi.

Menjawab soalan berhubung bilakah Pulau Pinang akan membangunkan taman seumpamanya, Kon Yeow berkata bahawa Kerajaan Negeri kini sedang merangka beberapa pakej yang akan diumumkan tidak lama lagi.

“Pulau Pinang masih lagi menjadi hab utama bagi pelabur reka bentuk litar bersepadu memandangkan sebahagian besar pelabur IC design adalah berpangkalan di negeri ini.

“Walau bagaimanapun, Kerajaan Negeri tetap melaksanakan beberapa usaha termasuk menubuhkan Penang Chip Design Academy sebagai hab pembangunan kemahiran selain mewujudkan teknousahawan dan syarikat kejuruteraan khususnya berkaitan IC design,” katanya sebagai menjawab soalan tambahan daripada ADUN Air Putih, Lim Guan Eng.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : DARWINA MOHD. DAUD