Kerajaan Negeri salur RM100,000, hargai jasa pekerja perkhidmatan perbandaran

Admin

GEORGE TOWN – Sejumlah RM100,000 disalurkan kepada Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) sebagai menghargai jasa wira-wira barisan hadapan pihak berkuasa tempatan negeri.

 

Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo ketika mengumumkan perkara tersebut memberitahu bahawa sumbangan tersebut masing-masing RM50,000 disalurkan kepada MBPP dan MBSP.

 

WIRA kuning.

 

 

Sumbangan ini adalah penghargaan daripada Kerajaan Negeri dalam mensejahterakan kehidupan masyarakat terutamanya pekerja perkhidmatan perbandaran yang sering tidak didendang.

 

 

“Tahniah kepada kedua-dua pihak berkuasa tempatan negeri dan diharap sumbangan ini dapat membantu (kedua-dua pihak berkuasa tempatan negeri) untuk terus melaksanakan perkhidmatan tugas dengan cemerlang,” ujarnya pada sidang media yang diadakan di Dewan Bandaraya dekat sini pada 12 Ogos 2022.

 

WIRA jingga.

 

Hadir sama, Datuk Bandar bagi MBPP, Dato’ Ar. Yew Tung Seang; Pengarah Khidmat Pengurusan MBPP, Mubarak Junus; Penolong Pengarah Jabatan Perkhidmatan Perbandaran MBSP, Mohd. Hafizi Samsuari yang hadir mewakili MBSP dan Setiausaha Bahagian Kerajaan Tempatan, Nur ’Aishah Norodin.

 

 

Pada sidang media sama, Jagdeep turut menzahirkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Yang Dipertua Negeri yang berkenan menganugerahkan pingat kepada 12 kakitangan Jabatan Perkhidmatan Perbandaran MBPP dan MBSP sempena sambutan ulang tahun baru-baru ini.

 

Sesungguhnya penganugerahan tersebut adalah pengiktirafan atas sumbangan jasa dan bakti yang diberikan oleh pekerja perkhidmatan perbandaran yang melakukan tugas 3D iaitu sukar, bahaya dan kotor demi memastikan kebersihan negeri ini kekal terjamin.

 

 

“Kerajaan Negeri juga tidak melupakan wira barisan hadapan yang memberi sepenuh komitmen semasa berdepan dengan pandemik COVID-19 dan komitmen itu tidak pernah berkurangan sedikit pun walaupun negara telah memasuki fasa endemik.

 

 

“Selain itu, ucapan terima kasih juga kepada wira barisan hadapan yang pernah menabur bakti dalam membantu negeri-negeri lain yang dilanda bencana seperti banjir di Selangor dan Kedah sebelum ini,” jelasnya.

 

JAGDEEP Singh Deo meramahi pekerja perkhidmatan perbandaran yang hadir pada majlis berkaitan.

 

Sempena sambutan bulan kebangsaan ini, Jagdeep mengambil kesempatan menyeru semua pihak supaya terus berwaspada dan berjaga-jaga pada setiap masa meskipun negara telah memasuki fasa endemik kini.

 

 

“(Negara) kita telah ‘merdeka’ dan ‘selesai’ daripada fasa pandemik COVID-19 tetapi kita masih perlu berwaspada kerana wujudnya penyakit lain seperti cacar monyet dan influenza A.

 

“Maka, memasuki fasa endemik ini dan untuk menaikkan semangat serta menyerikan lagi sambutan bulan kebangsaan tahun ini, pihak berkuasa tempatan negeri akan memulakan pemasangan 1,730 Jalur Gemilang melibatkan 780 unit di kawasan MBPP dan MBSP (950) di sepanjang jalan di negeri ini,” katanya yang menyarankan semua pihak mengambil inisiatif memasang Jalur Gemilang di kediaman dan kenderaan masing-masing.

 

SALAH seorang petugas yang akan bergerak secara konvoi bagi pemasangan Jalur Gemilang di sini.

 

Usai sidang media, Jagdeep bersama-sama semua dif menyempurnakan gimik pelepasan konvoi mini menandakan mulanya sambutan bulan kebangsaan dan kerja-kerja pemasangan Jalur Gemilang di negeri ini.

 

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : LAW SUUN TING