Kerajaan Negeri sambut baik projek komuniti naiktaraf pos rehat P84 – Exco

JAGDEEP Singh Deo (dua dari kanan) menunjukkan lakaran P84 yang dijangka siap pada Disember tahun ini.

KEBUN BUNGA – Jagdeep Singh Deo menyambut baik projek komuniti untuk menaiktaraf ruang awam di laluan pendakian Point 84 (P84) ke Bukit Bendera.

Beliau yang merupakan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa hadir menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Projek Menaiktaraf P84 Bukit Bendera yang berlangsung pagi ini.

Katanya, projek komuniti tersebut dianggarkan bernilai RM250,000 bagi mendirikan semula ruang awam, tempat rehat untuk kemudahan para pendaki dan penunggang basikal yang menggunakan laluan tersebut.

Selari dengan motto Kerajaan Negeri menjadikan negeri ini sebagai Bersih, Hijau, Sihat dan Selamat, kita sememangnya menyokong projek komuniti seperti ini dibangunkan.

Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) akan menyediakan reka bentuk bagi projek baik pulih P84 ini dan kerja-kerja dijangka akan selesai pada Disember 2018.

Di samping itu, dana akan diusahakan oleh Lion’s Club dengan melakukan kutipan ikhlas dari individu dan perniagaan-perniagaan sekitar Pulau Pinang bagi membantu menampung kos projek pembaikan ini,” ujarnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datuk Keramat.

Hadir sama, ADUN Kebun Bunga, Jason Ong Khan Lee; Ahli Parlimen Bukit Bendera, Wong Hon Wai; Datuk Bandar bagi MBPP, Dato’ Ar. Yew Tung Seang; Pengurus Besar Perbadanan Bukit Pendera Pulau Pinang (PHC), Cheok Lay Leng dan Ahli-ahli Majlis bagi MBPP.

Difahamkan beberapa syarikat korporat di Pulau Pinang juga telah menyatakan kesudian untuk menjadi penyumbang kepada projek yang tidak melibatkan dana sektor kerajaan tersebut.

P84 merupakan pos rehat dipertengahan laluan ke puncak Bukit Bendera bagi pendaki dan penunggang basikal dan keadaannya hampir ranap berikutan beberapa kejadian tanah runtuh yang berlaku beberapa tahun kebelakangan ini.

Bagi yang ingin melakukan sumbangan, boleh menghantar emel ke [email protected].

Oleh: WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar: DARWINA MOHD. DAUD