Kerajaan Negeri sasar 500,000 pokok ditanam menjelang 2030

SEBERANG PERAI – Kerajaan Negeri mensasarkan 500,000 penanaman pokok menjelang tahun 2030 selaras dengan Visi Penang2030: Negeri Pintar dan Hijau Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara.

Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo berkata, beliau yakin angka itu dapat dicapai dengan usaha yang ditunjukkan kedua-dua pihak berkuasa tempatan (PBT) negeri.

Jelasnya, kedua-dua Datuk Bandar bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) komited untuk menjayakan sasaran tersebut dengan masing-masingnya menanam 100,000 pokok di kawasan pulau dan Seberang Perai menjelang tahun 2023.

“Bagi memastikan alam sekitar terus terpelihara, Kerajaan Negeri Pulau Pinang melalui kedua-dua PBT telahpun menanam sejumlah 70, 234 pokok dari tahun 2018 hingga 2021.

“Kerajaan Negeri telah meletakkan sasaran baru iaitu penanaman 200,000 pokok menjelang tahun 2023 dan 500,000 pokok (tahun 2030),” ujarnya pada Majlis Pelancaran Program Penanaman Anak Pokok Sempena Sambutan Hari Bumi Tahun 2021 yang berlangsung di Upcycle Park, Bandar Perda di sini pagi tadi.

Sebagai rekod, dalam tempoh sepuluh tahun iaitu dari tahun 2008 sehingga 2018 sejumlah 310, 290 pokok telah ditanam di seluruh Pulau Pinang.

Hadir sama Datuk Bandar MBSP, Dato’ Sr. Rozali Mohamud; Ir. Rosnani Mahmod (Setiausaha Bandaraya MBSP), Ahli-ahli Majlis dan Ketua-ketua Jabatan MBSP.

Sambutan Hari Bumi yang disambut pada tanggal 22 April setiap tahun merupakan usaha signifikan bagi menghargai bumi dan menyemai rasa tanggungjawab serta meningkatkan kesedaran dalam kalangan masyarakat.

‘Pulihkan Bumi Kita’ telah diangkat sebagai tema sambutan Hari Bumi ke-51 tahun ini dengan memberi fokus kepada proses semula jadi, kemunculan teknologi hijau dan pemikiran inovasi yang akan membolehkan ekosistem bumi dikembalikan semula.

Berucap pada majlis sama, Rozali berkata MBSP bercadang untuk mewujudkan kelompok forest park dengan menggunakan konsep ‘tree bank’.

Forest park ini akan membekalkan baka anak-anak pokok yang akan ditanam di tempat-tempat dan kawasan lapang lain bagi menjimatkan kos.

“Malah, MBSP juga sedang dan akan menanam pokok buah-buahan sebagai kawasan ‘bank makanan’.

“Justeru, dalam masa sama saya menyeru seluruh rakyat Seberang Perai untuk ‘Pulihkan Bumi Kita’ melalui penanaman pokok di halaman rumah atau kawasan komuniti masing-masing supaya planet kita lebih sihat,” ujar beliau.

Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD