BUKIT TAMBUN – Kerajaan Negeri melalui pejabat Exco Pembangunan Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan dan Warisan (PETACH) sedang melaksanakan pelbagai usaha untuk memastikan sektor pelancongan Pulau Pinang bertambah maju.
Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa Kerajaan Negeri juga telah merangka strategi dan idea dengan menganjurkan pelbagai program yang dapat menghimpunkan pelbagai lapisan masyarakat yang diyakini dapat menonjolkan lagi keunikan negeri ini.
“Pada masa sama, ia turut membantu dalam merealisasikan hasrat Pulau Pinang untuk menjadi sebuah hab seni Asia Tenggara menjelang 10 tahun akan datang selain destinasi pelancongan pilihan utama menerusi kepelbagaian budaya komuniti di negeri ini.
“Selain itu, ia juga dapat mengeratkan hubungan silaturahim yang terjalin antara keluarga, sahabat-handai dan komuniti selaras dengan visi Penang2030,” katanya semasa merasmikan program ‘Penang Celebrates: Hari Raya with Radio Sinar’ dekat Design Village di sini sebentar tadi.
Hadir sama, Exco PETACH, Yeoh Soon Hin; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Lancang, Ong Ah Teong; Konsul Jeneral Jepun di Malaysia, Koshinichiro Kanoya; Konsul Kehormat Jerman ke Pulau Pinang, Mr. Leo Chee Yeong; Pengarah Muzium Pulau Pinang, Haryany Mohamad dan ramai lagi.
Majlis turut dimeriahkan dengan persembahan pentas oleh beberapa artis terkenal tanah air, antaranya kumpulan NAMA, Benzooloo, Sandra, Ara Johari serta penampilan istimewa dua DJ dari Radio Sinar, iaitu Pink Azwan dan Adi Fashla.
Selain itu, persembahan tarian singa yang memukau ternyata berjaya menggamit perhatian ribuan pengunjung.
Mengulas lanjut, Kon Yeow menjelaskan bahawa Kerajaan Negeri juga berhasrat memasukkan unsur-unsur kesenian, budaya dan warisan, adat resam, makanan, alam sekitar dan sebagainya untuk membentuk satu produk yang unik di negeri ini.
“Itulah keunikan Pulau Pinang yang menampilkan kepelbagaian budaya, agama serta lain-lain tarikan yang cuma terdapat di negeri ini berbanding lain-lain lokasi.
“Justeru, tahniah dan syabas diucapkan kepada PETACH serta agensi-agensi terlibat dalam industri pelancongan yang peka, penuh dedikasi, sentiasa bersemangat dengan idea-idea baru untuk memastikan sektor pelancongan di Pulau Pinang terus kekal unggul dan relevan,” ujarnya.
Dalam pada itu, Soon Hin yang turut berucap sebelum itu memaklumkan bahawa ‘Penang Celebrates: Hari Raya with Radio Sinar’ merupakan platform paling sesuai untuk mengalami kepelbagaian di negeri ini.
“Siri “Penang Celebrates” bukan sahaja dapat memupuk perpaduan, malah juga dapat mempromosikan Pulau Pinang sebagai negeri pelancongan yang unggul di Asia,” jelasnya.
Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : NUR AFIQAH ZAINUDI
Video : DARWINA MOHD. DAUD