GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri menetapkan sasaran agar semua pasar awam dan kompleks makanan di negeri ini mencapai Gred A dalam tempoh masa setahun.
Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo berkata, sasaran itu mampu dicapai memandangkan hampir 96 peratus (53 buah) pasar awam dan 92 peratus (73 buah) kompleks makanan yang dinilai, kini telahpun mencapai Gred A dan B.
“Hasil penilaian sebanyak dua kali oleh Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) ke atas 134 buah pasar awam dan kompleks makanan di seluruh negeri, hanya empat peratus (dua buah) pasar awam dan lapan peratus (enam buah) kompleks makanan masih berada di Gred C.
“Justeru, satu pelan tindakan telah dirangka bagi pasar awam dan kompleks makanan milik MBPP dan MPSP yang masih berada di Gred C untuk mencapai Gred A atau B.
“Pelan tindakan ini akan dilaksanakan dalam tiga tempoh masa iaitu untuk jangka masa pendek, jangka masa sederhana dan jangka masa panjang termasuk menaik taraf bangunan secara keseluruhan,” katanya pada sidang media di sini, sebentar tadi.
Turut serta, barisan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN); Datuk Bandar bagi MBPP, Dato’ Ar. Yew Tung Seang; Setiausaha Perbandaran bagi MBPP, Ir. Addnan Mohd. Razali; Setiausaha Perbandaran MPSP, Ir. Rosnani Mahmod serta wakil-wakil berkaitan.
Jagdeep yang juga ADUN Datuk Keramat turut menyeru kepada syarikat-syarikat swasta terutama pihak pemaju supaya mencontohi inisiatif dilaksanakan Kerajaan Negeri bagi memastikan kebersihan negeri ini berada pada tahap terbaik.
“Saya juga yakin, pihak MBPP dan MPSP akan membantu Kerajaan Negeri untuk merealisasikan harsat menjadikan Pulau Pinang sebagai negeri pertama mempunyai pasar awam dan kompleks makanan yang mencapai Gred A,” ulasnya lagi.
Sementara itu, Tung Seang ketika berucap berkata, pihaknya akan terus berusaha untuk mencapai sasaran ditetapkan Kerajaan Negeri termasuk melaksanakan penyediaan infrastruktur serta fasiliti dekat pasar-pasar awam dan kompleks makanan.
“Kita (MBPP) juga memerlukan kerjasama daripada orang awam untuk menjadikan Pulau Pinang sebagai bandaraya terbersih di Malaysia dan Asia Tenggara,” ujarnya.
Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : CHAN KOK KUAN