DATUK KERAMAT – Kerajaan Negeri Pulau Pinang sedang melihat bentuk inisiatif perlu kepada pengusaha-pengusaha taman asuhan kanak-kanak (TASKA), taman didikan kanak-kanak (TADIKA) dan pusat jagaan di negeri ini dalam memastikan kelangsungan pengoperasian premis-premis berkaitan secara sah.
Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo berkata, satu jawatankuasa khas telah diwujudkan bagi menilai dan menentukan keakuran pengusaha-pengusaha TASKA, TADIKA dan pusat jagaan dalam memperoleh status pembiayaan fi arkitek melalui kaedah pro-bono atau fi minimum oleh panel-panel arkitek di bawah Pertubuhan Arkitek Malaysia (PAM).
“Peranan jawatankuasa ini sejajar dengan hasrat Kerajaan Negeri bagi membantu para pengusaha premis TASKA, TADIKA dan pusat jagaan berkaitan di samping menitikberatkan soal keselamatan.
“Kerajaan Negeri juga tahu bahawa amat sukar untuk para pengusaha ini mendapatkan perakuan pendaftaran dan perkara ini tidak boleh dikompromi kerana melibatkan isu keselamatan penghuni premis seperti kanak-kanak, warga emas, wanita dan orang kurang upaya (OKU).
“Langkah ini sekali gus memberi kemudahan kepada para pengusaha untuk memperoleh sijil perakuan pendaftaran daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) serta Jabatan Pendidikan Negeri.
“(Dan) Kerajaan Negeri akan membantu sedaya-upaya terutama dalam meringankan bebanan kewangan yang ditanggung oleh para pengusaha rumah amal di Pulau Pinang,” ujarnya pada sidang media yang diadakan di perkarangan premis Pertubuhan Perlindungan Kanak-Kanak Pulau Pinang dekat sini pada 3 Februari 2022.
Menurut Jagdeep, berdasarkan rekod terdapat 319 premis TASKA, TADIKA dan pusat jagaan yang terlibat dalam Proses Pemutihan Fasa 1 sebelum ini.
“Walau bagaimanapun, sebanyak 17 TASKA, TADIKA dan Pusat Jagaan telah membatalkan permohonan atas pelbagai faktor menjadikan jumlah yang terlibat adalah 302 premis sahaja.
“(Dan) daripada jumlah tersebut, sebanyak 45 premis telah menerima sijil perakuan pendaftaran dan baki masih belum menjalani proses penilaian (oleh jawatankuasa penilaian keakuran) disebabkan moratorium talah tamat pada 31 Disember 2021,” jelasnya.
Sementara itu, Setiausaha Bandaraya bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Ir. A. Rajendran yang turut hadir pada sidang media itu memberitahu bahawa terdapat 181 TASKA, TADIKA dan pusat jagaan yang tidak mempunyai lesen pengoperasian yang sah dikenal pasti.
“Pihak MBPP telah meluluskan 14 permohonan manakala baki masih dalam proses pertimbangan,” katanya yang turut serta dalam keraian tersebut di sini.
Hadir sama, pemangku Pengarah Perancangan Pembangunan MBPP, Zuraini Mat Rasit serta wakil daripada Lembaga Perumahan Negeri Pulau Pinang (LPNPP).
Sebagai rekod, tahun lalu Kerajaan Negeri mengumumkan insentif sebanyak RM1,000 secara one-off kepada pengusaha TASKA yang berdaftar secara sah di bawah JKM dalam membantu menangani isu kekangan kewangan yang dihadapi akibat pandemik.
Terdahulu, Jagdeep yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datuk Keramat hadir bersama-sama ibu, Datin Seri Utama Gurmit Kaur meraikan 26 penghuni di Pertubuhan Perlindungan Kanak-Kanak Pulau Pinang sempena sambutan Tahun Baru Cina.
Turut serta wakil daripada pertubuhan amal bukan kerajaan, Penang Cheshire Home; Ramakrishna Ashrama; Sekolah Kanak-kanak Terencat Akal Pulau Pinang dan Wisma Yatim Perempuan Islam Pulau Pinang yang menerima sumbangan berupakan bakul makanan dan cenderamata.
Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI Gambar : ALISSALA THIAN