GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri Pulau Pinang sedia mengkaji cadangan untuk mewartakan cuti perayaan Hari Deepavali kepada dua hari di negeri ini.
Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa pada masa ini, cuti sempena hari Deepavali di Pulau Pinang hanya diwartakan selama satu hari sahaja.
“Akta Hari Kelepasan 1951 Semenanjung Malaysia telah memberikan kuasa kepada Pihak Berkuasa Negeri menetapkan suatu hari untuk diterima sebagai hari kelepasan am bagi negeri.
“Namun, buat pada masa ini, Kerajaan Negeri tiada perancangan untuk mewartakan cuti peristiwa negeri untuk Hari Deepavali kedua sebagai cuti tambahan.
“Walau bagaimanapun, kita (Kerajaan Negeri) sedia terima cadangan untuk mengkaji perkara tersebut,” katanya ketika menjawab soalan tambahan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Dalam, K. Kumaran dalam Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang ke-15 dekat sini sebentar tadi.
Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR & NOOR SITI NABILAH NOORAZIS