Kerajaan Negeri sedia pertimbang tanah TOL untuk tanaman sumber makanan

Admin

PANTAI JEREJAK – Kerajaan Negeri Pulau Pinang sedia mempertimbangkan permohonan Lesen Pendudukan Sementara (TOL) bagi tujuan penanaman bijirin sekiranya terdapat permintaan.

 

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata demikian ketika menjawab soalan pemberita berhubung isu kekurangan bekalan makanan khususnya bijirin yang melanda negara ketika ini.

 

“Walaupun Pulau Pinang merupakan sebuah negeri yang kecil daripada segi keluasan tanah, namun aktiviti pertanian dan penternakan memang digalakkan di negeri ini.

 

“Dari semasa ke semasa, memang ada permohonan TOL dikemukakan kepada Kerajaan Negeri bagi tujuan pertanian tetapi kebanyakannya adalah untuk tanaman buah-buahan.

 

“Memandangkan tanah TOL adalah pegangan setahun demi setahun, maka ia tidak sesuai untuk menjalankan penanaman bagi tanaman jangka panjang seperti buah-buahan.

 

“Namun, jika ada permohonan bagi tujuan pertanian lain, pihak berkuasa negeri akan pertimbangkan,” jelasnya.

 

Walau bagaimanapun, beliau memberitahu bahawa tahap sara diri (SSL) bagi tanaman bijirin dan ternakan seperti ayam dan khinzir di negeri ini masih lagi tinggi.

 

“Hasil padi misalnya, walaupun saiz tanah di negeri ini kecil tetapi hasil yang diperolah adalah antara yang tertinggi dalam negara kita,” ulasnya.

 

Mengulas mengenai masalah kekurangan bekalan ayam, beliau menyatakan bahawa bekalan sumber protein itu di negeri ini adalah mencukupi berdasarkan maklum balas yang diterima daripada Jabatan Veterinar Pulau Pinang.

 

“Daripada apa yang dilaporkan oleh Jabatan Veterinar, bekalan ayam dan daging untuk kegunaan sendiri dalam negeri adalah mencukupi.

 

“Namun, dengan isu (kekurangan bekalan) yang sedang kita hadapi, kita (Kerajaan Negeri) berharap pihak jabatan (veterinar) dapat memantau hasil dari ladang-ladang yang ada.

 

“Kalau untuk kegunaan dalam negeri Pulau Pinang cukup, maka bolehlah dieksport keluar ke negeri-negeri lain tetapi bukan untuk ke luar negara.

 

“Langkah ini bagi memastikan negeri-negeri lain juga mempunyai bekalan yang mencukupi,” ujarnya lagi.

 

Kon Yeow yang juga Exco Pembangunan Tanah & Ekonomi dan Komunikasi berkata, setakat ini Jabatan Veterinar juga belum menerima sebarang laporan berhubung kekurangan bekalan makanan berkaitan di negeri ini.

 

“Saya harap kadar sara diri bagi bekalan tersebut kekal mencukupi,” ujarnya.

 

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI & SUNARTI YUSOFF

Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD

Video : LAW SUUN TING