Kerajaan Negeri sedia platform kukuh untuk wanita main peranan dalam arus pembangunan

Admin

SEBERANG JAYA – Ketua Menteri ‘Caretaker’, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow menggariskan tiga pilihan penting kepada rakyat Pulau Pinang dalam mendepani Pilihan Raya Negeri (PRN) yang dijadualkan pada 12 Ogos ini.

 

 

Menurut beliau, selama 15 tahun, Kerajaan Negeri Pakatan Harapan (PH) sudah mentadbir dengan sehabis baik sehingga Pulau Pinang mencapai kemajuan yang dibanggakan.

 

 

“PRN ini juga penting kepada golongan wanita kerana anda (golongan wanita) mewakili 50 peratus daripada jumlah pengundi yang mana sekaligus boleh menentukan masa depan Pulau Pinang.

 

 

“(Dan) PRN adalah jelas kita perlu buat pilihan, satu, kita pilih perpaduan dan bukan perpecahan, itu pilihan pertama.

 

 

“Dengan adanya Kerajaan Perpaduan, satu bab politik baru sudah diwujudkan di Malaysia, ini hakikat yang tidak dapat dinafikan, oleh kerana kita pilih perpaduan hari ini kita boleh gembleng di bawah payung yang mahu menentang puak yang mahukan perpecahan.

 

“Jadi kita mahu wanita mesti menjadi tunjang pilihan perpaduan, bawa balik mesej ini dan sebarkan mesej perpaduan ini kepada keluarga dan rakan-rakan, sebarkan mesej perpaduan,” serunya pada penganjuran Rapat Umum Wanita Bangkit di sini petang tadi.

 

Hadir sama, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek; Timbalan Menteri Pendidikan, Lim Hui Ying; Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Aiman Athirah Sabu; barisan Exco ‘Caretaker’ Kerajaan Negeri ; mantan Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kerajaan PH dan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Wanita Pulau Pinang (PWDC), Ong Bee Leng.

Mengulas lanjut, Kon Yeow menjelaskan bahawa pilihan kedua adalah pembangunan, kesejahteraan, pertumbuhan ekonomi dalam membangunkan Pulau Pinang.

 

“Kita faham mengenai cabaran ekonomi beberapa tahun kebelakangan ini, kita harap apa yang dilakukan oleh Kerajaan Perpaduan di Persekutuan dalam tempoh tujuh bulan memerintah, kita dapat pulihkan keadaan ekonomi hingga rakyat pulih sepenuhnya terutamanya melibatkan ekonomi keluarga masing-masing.

 

“Kalau diberikan mandat sekali lagi, kita akan ada kesinambungan daripada segi pembangunan ekonomi, peluang pekerjaan dan memastikan rakyat hidup senang bawah Kerajaan Perpaduan di negeri Pulau Pinang,” ujarnya yang juga mantan ADUN Padang Kota.

 

Tambah Kon Yeow, pilihan ketiga ditawarkan adalah keterangkuman gender, kesaksamaan golongan wanita dan juga memastikan terdapat undang-undang serta program yang dapat menjadi agenda wanita.

 

 

“Saya pasti 10 hingga 15 tahun kita (PH) memerintah negeri Pulau Pinang, kita adalah pro wanita dan kita pentingkan agenda wanita dan kita mahu fokuskan keluarga serta hak-hak wanita.

 

 

“Saya juga tahu kumpulan-kumpulan wanita di Pulau Pinang telah membuktikan bahawa golongan wanita boleh memainkan peranan penting dalam Kerajaan Negeri.

 

 

“Saya berharap, dalam tempoh pentadbiran sebelum ini, kita sudah menyediakan platform yang kukuh untuk wanita memainkan peranan dalam arus pembangunan (wanita) di Pulau Pinang, kalau belum cukup, kita boleh sambung lagi untuk semarakkan lagi agenda pembangunan wanita,” tegasnya.

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI

Video : SITI NURATIKAH RAHMAT