Kerajaan Negeri sedia tempat pengecasan elektrik, galak usaha selari Visi Penang2030

Admin
ZAIRIL Khir Johari

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri sentiasa bekerjasama dengan Kerajaan Pusat serta pemain industri dalam usaha menggalakkan penggunaan kenderaan elektrik selaras dengan Visi Penang2030 ke arah Negeri Pintar dan Hijau Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara.

Mengulas lanjut, Exco Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital, Zairil Khir Johari berkata bahawa terdapat beberapa usaha yang telah dilaksanakan dalam menggalakkan penggunaan kenderaan elektrik.

“Antara usaha yang telah dilaksanakan oleh pihak Kerajaan Negeri termasuk memasang tempat pengecasan motosikal elektrik percuma di kawasan-kawasan milik pihak berkuasa tempatan (PBT) bukan sahaja di bahagia pulau, malahan juga Seberang Perai.

“Selain itu, pihak Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) turut membuat kertas cadangan (RFP) fasa 1 bagi pemasangan stesen pengecas kenderaan elektrik (EV) di 26 lokasi yang melibatkan tempat letak kenderaan dan premis MBPP merangkumi Directing Current (DC) dan Alternating Current (AC) charging station,” jelasnya pada sesi Soalan Lisan dalam Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang Ke-15 di sini pada 27 November 2023.

Tambah Zairil, usaha untuk memudah cara kelulusan pelan di peringkat Permohonan Kebenaran Merancang turut dilaksanakan.

“Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) turut menyediakan tapak mengecas kereta elektrik di tapak letak kereta kakitangan di Menara Bandaraya, Bandar Perda.

“Justeru, usaha sebegini dapat menggalakkan pemaju bagi penyediaan tambahan stesen caj kenderaan elektrik (EV) di kawasan kemudahan sekitar Seberang Perai,” ulasnya lanjut.

Oleh : NUR ASHIKIN ISMAIL
Gambar : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR & SITI NURATIKAH RAHMAT